Adun bantu keluarga pelajar cemerlang sejak 4 tahun lalu

Mohd Huzaimy bersama MP Bachok, Syahir Sulaiman semasa menziarahi kematian ibu Syahril, baru-baruini.
- Advertisement -

BACHOK: Keluarga pelajar anak yatim yang cemerlang SPM 2022 menerima bantuan daripada Pusat Khidmat DUN (PKD) Pantai Irama sejak lebih empat tahun lalu.

- Advertisement -

Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Hussin berkata, keluarga berkenaan dipantau Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod bagi membantu menyalur keperluan harian.

Katanya, keluarga Muhammad Syahril Saidi, 18, mendapat bantuan kerajaan negeri melalui Skim Pendidikan Anak Yatim yang diurus Pejabat Pusat Khidmat Dun (PKD) Pantai Irama.

Selain itu bantuan pakaian sekolah disumbang Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

“Syahril bukan hanya cemerlang peperiksaan SPM sahaja, sebaliknya pernah mencipta nama sebagai Pelajar Terbaik YIK bagi peperiksaan Sijil Menengah Ugama SMU 2021 kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK),” katanya di sini.

Syahril berjaya meraih keputusan cemerlang 11A SPM yang diumum Khamis lepas biarpun sibuk menguruskan ibunya yang terlantar sakit.

Ibunya Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, hanya sempat berkongsi seketika kejayaan Syahril, meninggal dunia Sabtu lepas selepas empat tahun terlantar sakit.

Huzaimi berkata, walaupun kehidupan keluarga Syahril agak susah, namun beliau mampu berdikari sehingga cemerlang setiap peperiksaan.

Menurutnya, sebelum ini pelajar terbabit mendapat bantuan kerajaan sebanyak RM450 sebulan.

“Namun setelah adik beradiknya yang lain tamat persekolahan, sumbangan berkenaan berkurangan kepada RM200 sebulan.

“Apa yang berlaku kepada adik Syahril dan keluarga sewajarnya menjadi pedoman buat kita serta anak-anak yang masih belajar.

“Walau apa pun tahap keluarga kita, namun usaha berterusan, rajin serta berdikari amat penting,” ujarnya.

Difahamkan Syahril turut menerima bantuan Skim Pendidikan Tengku Anis, sumbangan bulanan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia Papisma dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau merupakan anak bongsu daripada enam beradik. Abangnya difahamkan berkerja sebagai pemandu lori bagi menyara kehidupan keluarga. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -