
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mahu kerajaan memastikan hak kedaulatan terjamin serta tidak merugikan negara dalam penyelesaian isu sempadan Malaysia dan Indonesia.
Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu menggariskan jaminan dalam perjanjian penyelesaian sempadan yang baru ditandatangani oleh kedua-dua negara.
Tanpa jaminan itu, beliau berkata negara berhadapan kesan negatif dari segi aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang kerana kawasan tersebut membabitkan zon ekonomi eksklusif.
“Apakah jaminan kerajaan bahawa perjanjian itu yang baru ditandatangani kedua-dua belah pihak, Malaysia dan Indonesia tidak menjejaskan hak kedaulatan negara.
“Selain itu, jaminan ini penting agar tidak merugikan negara, terutama kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
Bercakap pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan perkara itu dalam pemantauan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, ini dilakukan dengan mendapatkan nasihat agensi kerajaan berkaitan agar keputusan tersebut tidak bercanggah dengan sistem perundangan antarabangsa yang menjadi panduan negara ini.
“Perjanjian ini dimeterai setelah diperakui oleh agensi terlibat, jadi selepas mereka teliti dan perjumpaan akhir dengan saya, selepas puas hati barulah kita meterai.
“Prinsipnya berdasarkan kepentingan kita titik sempadan yang tidak kita pertikai dan Undang-Undang Antarabangsa, khasnya Konvensyen Undang-Undang Laut 1982,” katanya.
Sempena lawatan kerja Presiden Republik Indonesia ke negara ini, Joko Widodo dan Anwar bersama menyaksikan pertukaran enam instrumen dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara.
Ini termasuk Perjanjian Lintas Sempadan: keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi. – HARAKAHDAILY 13/6/2023




















