
ISTANBUL: Manchester City akhirnya meluaskan penguasaan domestik ke seluruh Eropah apabila menewaskan Inter Milan 1-0 dengan gol pada babak kedua Rodri untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dan melengkapkan treble, pagi tadi.
Namun, Inter memberikan saingan hebat dengan kelihatan akan mengheret perlawanan akhir ke masa tambahan, hanya dinafikan dengan persembahan menakjubkan penjaga gol Ederson yang melakukan dua aksi menyelamat lewat permainan.
Ledakan kegembiraan menyambut wisel penamat dengan pemain City memecut ke arah penyokong mereka di Stadium Olimpik Ataturk.
“Anda mesti bernasib baik… kemenangan ini ditulis dalam bintang. Ia milik kami. Perlawanan ini ternyata menjadikan treble ini sangat sukar,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
City bukan sahaja memenangi kejuaraan Eropah pertama sejak merangkul Piala Juara-Juara Piala Eropah yang kini tiada lagi pada 1970, malah menjadi pasukan Inggeris kedua memenangi treble Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara, menyamai kejayaan Manchester United pada 1999.
Inter yang mengejar piala buat kali keempat, menyekat pasukan Guardiola dengan persembahan hebat, terutama pada separuh masa pertama apabila pemain City, Kevin De Bruyne mengalami kecederaan.
City mungkin mengalami deja vu mengerikan apabila perancang utama, De Bruyne yang juga gagal menamatkan perlawanan akhir dua tahun lalu ketika City tumpas kepada Chelsea.
Malah mesin gol City dari Norway, Erling Haaland, mendapati dirinya dikawal ketat, tetapi akhirnya pemain tengah Sepanyol, Rodri yang memulakan perlawanan ke-52 musim ini, menjadi wira.
“Emosi. Impian menjadi kenyataan. Semua di sini menunggu, saya tidak tahu sejak bila. Mereka layak, kami berhak,” kata Rodri ketika Guardiola memeluk pemain dan penyokong City menyanyikan nama Sheikh Mansour, yang pengambilalihan kelab pada 2008 menjadikan City pemenang piala demi piala.
“Ia tidak mudah. Betapa pasukan yang kami hadapi, cara mereka bertahan dan melakukan serangan balas. Perlawanan akhir begini. Kami bersaing seperti haiwan.”
City kini memenangi 17 piala sejak pengambilalihan pada 2008. – REUTERS.











