
KOTA BHARU: Ibu pelajar terbaik Yayasan Islam Kelantan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2021 kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) meninggal dunia semalam.
Muhammad Syahril Saidi, 18, juga meraih keputusan cemerlang 11A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum Khamis lepas biarpun sibuk menguruskan ibunya yang terlantar sakit sejak empat tahun lepas.
Syahril merupakan pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, kehilangan ibunya Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 apabila meninggal dunia selepas lama terlantar sakit.
Anggota Exco kerajaan negeri Dato Mumtaz Md Nawi berkata, Allah takdirkan yang terbaik ibunya meninggal dunia, di saat anaknya muncul sebagai pelajar cemerlang.
“Dalam keadaan sangat lemah, semalam dia hulur tangan pada Kak Taz dan ucapkan terima kasih dalam penuh kesyahduan perlahan tapi bermakna, tangannya agak panas seperti demam.
“Dia terharu orang ramai datang raikan anaknya. Dia sangat gembira tapi dalam uzur, hati seorang ibu, semoga Allah anugerahkan jannah buatnya,” kata beliau di laman sosialnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan turut tersentuh hati dengan perkhabaran pemergian ibu adik Syahril Saidi yang baharu sahaja mengecapi kejayaan cemerlang SPM 11A.
“Ternyata adik Syahril seorang yang cekal dan tabah, ibunya baru meninggal dunia manakala ayahnya, Saidi Mat Jusoh meninggal dunia pada 2012.
“Sejak berusia 6 tahun lagi beliau menjaga ibunya, apatah lagi setelah ibunya kena strok pada 2020. Takziah Syahril. Semoga Allah SWT merahmati roh kedua ibu bapanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2023











