
KUALA LUMPUR: Tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor didominasi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam siaran Statistik Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) 2023 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan terdapat 25.1 peratus penduduk berumur 65 tahun dan ke atas di DUN Sungai Air Tawar, Sekinchan (21.5) dan DUN Sabak (20.7)
Berikut ialah siaran DOSM.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Statistik Subnasional DUN 2023 yang merupakan penerbitan siri kedua sejak 2022.
Penerbitan ini dikeluarkan bagi kesemua 600 DUN di Malaysia.
DUN N.27 Pengkalan Kota di Pulau Pinang dengan keluasan terkecil iaitu satu kilometer persegi mencatatkan kepadatan penduduk tertinggi dengan jumlah 21,061 orang.
Ini diikuti oleh N.21 Pandan Indah dengan jumlah 14,686 orang dalam setiap kilometer persegi dan N.30 Sungai Pinang dengan jumlah 13,851 orang dalam setiap kilometer persegi.
DUN N.49 Kota Iskandar, Johor, mencatatkan jumlah penduduk tertinggi bagi tahun 2022 iaitu seramai 310.9 ribu orang diikuti oleh dua DUN di Selangor iaitu N.40 Kota Anggerik seramai 294.5 ribu orang. Ini disusuli oleh DUN N.37 Bukit Lanjan seramai 290.5 ribu orang.
DUN N.22 Manir, Terengganu mempunyai 99.9 peratus penduduk bumiputera, diikuti tiga DUN dengan 99.8 peratus penduduk bumiputera iaitu di DUN N.06 Permaisuri dan N.07 Langkap di Terengganu serta satu DUN di Perlis iaitu N.05 Santan.
Kumpulan etnik Cina mendominasi DUN N.31 Batu Lancang, Pulau Pinang dengan 85.2 peratus diikuti N.27 Pasir Pinji, Perak dengan 81.3 peratus dan N.54 Pelawan, Sarawak dengan 81.1 peratus.
Kumpulan etnik India pula mendominasi DUN N.30 Buntong, Perak dengan 49.6 peratus, N.48 Sentosa, Selangor dengan 38.0 peratus dan N.22 Jalong, Perak dengan 30.7 peratus.
Komposisi penduduk mengikut kumpulan umur pula, penduduk umur muda 0-14 tahun mendominasi DUN N.17 Bukit Katil, Melaka dengan 45.0 peratus, diikuti oleh DUN N.43 Nenggiri, Kelantan dengan 40.8 peratus dan DUN N.18 Ayer Molek, Melaka dengan 39.2 peratus.
Penduduk umur bekerja 15-64 tahun mendominasi DUN N.11 Pauh, Perlis dengan 83.0 peratus diikuti dua DUN di Pulau Pinang iaitu N.28 Komtar dengan 81.6 peratus dan N.17 Bukit Tengah dengan 80.8 peratus.
Penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas pula mendominasi di tiga DUN di Selangor, iaitu masing-masing di N.01 Sungai Air Tawar sebanyak 25.1 peratus, diikuti N.04 Sekinchan dengan 21.5 peratus dan DUN N.02 Sabak sebanyak 20.7 peratus.
Bersesuaian dengan kedudukan Selangor sebagai bandaraya tumpuan ekonomi, tiga DUN merekodkan bilangan pertubuhan/syarikat perniagaan tertinggi iaitu di N.32 Seri Setia (17,857 buah), N.30 Kinrara (17,716 buah) dan N.40 Kota Anggerik (14,279 buah). – HARAKAHDAILY 23/5/2023











