Umat Islam bangkit pertahan kalimah Allah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Umat Islam akan bangkit mempertahankan kalimah Allah sekiranya kerajaan Malaysia Madani gagal menguruskan isu tersebut dengan baik.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, perhimpunan aman yang diadakan hari ini sebagai membantah tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes kalimah Allah.

“Agama Islam bukan ekstrem, tetapi kita mahu mempertahankan kalimah Allah daripada disalah guna oleh orang bukan Islam,” kata pada perhimpunan aman selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini. (Foto atas)

Himpunan itu turut dihadiri jemaah masjid terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Geng Ustaz dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Turut hadir Penasihat UMMAH Kamaruzaman Mohamad, mantan profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Sebelum itu Mohd Zai mengadakan pertemuan dengan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum perhimpunan diadakan.

Pada 15 Mei lepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Ekoran itu pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor dan bekas mufti membantah tindakan KDN menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan. – HARAKAHDAILY 19/5/2023

- Advertisement -