
BACHOK: Ketika musim panas sekarang ramai yang berusaha menyejukkan badan. Pelbagai usaha dilakukan antaranya minum banyak air putih (kosong).
Namun jarang orang ramai tahu air nira (tuak) sama ada daripada nipah atau kelapa dipercayai mampu untuk menurunkan suhu badan.
Malah orang tua-tua memberitahu air tuak bagus diminum bagi melegakan demam selesema.
Bagi penggemar air tuak keenakannya tiada tolak banding. Malah pada Ramadan lepas air tuak menjadi pilihan iftar.
Perkara itu turut diakui seorang pengusaha air tuak Mohd Suhaimi Jusoh dari Kampung Panjang dekat sini yang tidak menang tangan.
Katanya, pada Ramadan lepas permintaan air tuak begitu luar biasa di mana menerima tempahan pelanggan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Terengganu dan Perlis.
“Saya menghantar secara sejuk beku. Bekalan tidak mencukupi memandangkan permintaan begitu tinggi. Pada Ramadan lalu saya hanya menyadat 70 daripada 200 pokok untuk dijadikan air nira,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya harga jualan air tuak di Kuala lumpur mencecah RM20 hingga RM25 sebotol kerana kesukaran mendapatkan bekalan.
Suhaimi juga memberitahu sebanyak 15 atau 16 botol besar (1.25 liter) berjaya dikumpul setiap hari yang dijual pada harga RM10 dan botol kecil dijual RM5.
Mohd Suhaimi turut mengusahakan sebanyak 200 pokok kelapa mataq yang ditanam sejak enam tahun lalu.
Pokok tersebut diusahakan di kawasan seluas dua ekar yang melibatkan modal sebanyak RM25,000 termasuk membersih tanah, membeli benih pokok dari Jabatan Pertanian dan individu.
Selain itu enjin untuk menjirus pokok kelapa, baja dan lain-lain keperluan.
Beliau bersyukur dalam tempoh tiga tahun modal yang dilaburkan itu berjaya dipungut kembali dengan jualan hasil tuak dan kelapa muda.
“Saya juga menjual buah kelapa yang matang untuk dijadikan santan dan kelapa muda bagi mendapat air. Manakala kelapa tua dibuat benih,” katanya yang mempunyai 10 anak.

Beliau turut bersyukur dengan hasil jualan air nira dan kelapa muda dapat menampung keperluan keluarga dengan pendapatan hampir RM3,000 sebulan.
“Kebetulan anak-anak belajar di sekolah tahfiz, jadi banyak modal diperlukan untuk membayar keperluan mereka setiap bulan,” ujarnya yang juga Penghulu Mukim Kampung Panjang.
Beliau mempunyai rangkaian ejen seramai 13 orang yang tinggal di Bachok dan Kota Bharu.
Mohd Suhaimi juga berjinak-jinak menternak lembu baka limosin dan Charolais yang kini berjumlah lapan ekor.
Sementara itu Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memuji kegigihan anak muda terbabit yang rajin berusaha dalam sektor pertanian dan penternakan. (Foto atas)
“Kesungguhan Mohd Suhaimi sewajarnya menjadi contoh kepada anak muda lain. Tidak perlu berhijrah ke bandar bagi mencari rezeki di kampung halaman sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2023











