Gembira dan ternanti Kerajaan Pusat bertukar

- Advertisement -

JERAI: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menolak kemungkinan boleh berlakunya pertukaran Kerajaan Persekutuan sebagaimana ura-ura bertiup kencang ketika ini.

Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun menyatakan, sama ada perkara tersebut disahkan mahupun dinafikan, beliau tidak tahu mengenainya tetapi gembira jika ia berlaku dan menantikan saat itu.

“Saya mendoakan ia jadi kenyataan. Jangan tanya saya. Saya bukan Ahli Parlimen. Kena tanya Ahli Parlimen,” ujarnya terus mengusik pihak yang menunjukkan ketakutan kepada ‘rumours’ itu.

Katanya, perkara tersebut juga mungkin timbul dan boleh diusahakan menerusi pelbagai platform selain daripada gabungan parti-parti politik di mana wujudnya kesatuan daripada pihak-pihak terbabit.

Perkara itu dijawabnya daripada pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Himpunan Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Padang Awam Guar Chempedak, di sini malam tadi.

Beliau juga menjelaskan bahawa PRN di enam negeri tetap berlaku walaupun persefahaman bersama negeri-negeri Pakatan Harapan (PH) tidak diadakan kerana DUN semua negeri itu akan terbubar hujung Jun dan awal Julai.

Menyentuh kesungguhan PH merampas negeri Kedah, beliau menyatakan ia mungkin kerana mereka tidak berupaya untuk Kelantan dan Terengganu, tetapi mengingatkan bahawa Kedah juga tidak mudah buat PH. – HARAKAHDAILY 14/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -