Piala Asia 2023: Malaysia hadapi Korea Selatan

Majlis cabutan undian negara yang bertanding dalam Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.
- Advertisement -

Skuad Harimau Malaya diletakkan dalam Kumpulan E Piala Asia AFC bersama Korea Selatan dan dua pasukan Asia Barat, Jordan dan Bahrain.

Cabutan undian dibuat secara rasmi di Panggung Opera Katara di Qatar, semalam.

- Advertisement -

Pertemuan dengan Korea Selatan pasti membuatkan jurulatih kebangsaan yang berasal dari negara itu, Kim Pan-gon, perlu memikirkan strategi terbaik untuk memastikan negara mampu memberikan cabaran bermakna dalam kejohanan di Qatar yang bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Antara pemain terkenal Korea Selatan ialah penyerang utama Tottenham Hostpur, Son Heung Min.

Jordan dan Bahrain juga bukan calang-calang pasukan dengan kedua-dua negara berkenaan berada lebih tinggi dari segi ranking, iaitu masing-masing di tangga 84 dan 85.

Bekas pemain terkenal Korea Selatan dan Manchester United, Park Ji-sung, turut mencabut undi Piala Asia 2023.

Ini juga akan menjadi penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia. Dalam tiga edisi sebelum ini pada 1976, 1980 dan 2007, Malaysia gagal layak ke peringkat kalah mati.

Qatar yang juga juara bertahan kejohanan ini, diundi dalam Kumpulan A bersama China, Tajikistan dan Lubnan.

Sementara itu, Jepun yang muncul juara sebanyak empat kali diundi dalam Kumpulan D bersama dua wakil Asia Tenggara, Indonesia dan Vietnam serta Iraq. – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -