
AL-FARABI telah menjelaskan berkenaan konsep al-Madinah al-Fadilah atau negara ideal, sekali gus turut menyenaraikan sifat-sifat yang berlawanan dengannya. Ia merangkumi Jahilah, Fasiqah, Mubaddilah dan Dhallah.
• Jahilah (الجاهلة) boleh difahami secara ringkas sebagai kecenderungan hidup ke arah enjoy semata-mata. Asalkan makan pakai cukup dan kemewahan dapat dikecapi, itu sudah dirasakan memenuhi tujuan hidup.
• Fasiqah (الفاسقة) pula adalah anggota dan warga negaranya memiliki tahap pendidikan yang memuaskan, tapi berperilaku sebaliknya. Atau dalam erti kata lain, tahu mana betul dan mana salah. Tetapi langgar pengetahuan-pengetahuan tersebut, sekalipun ia dianggap membohongi diri sendiri.
• Adapun Mubaddilah (المبدلة), paradigma yang serba seleweng hingga antara benar dan salah biasa dibolak-balikkan. Dengan istilah hari ini mahu dikatakan memiliki sifat sofis boleh, pragmatik boleh dan oportunis pun boleh.
• Akhirnya Dhallah (الضالة), boleh diterjemahkan sebagai mengamalkan konsep teokrasi. Persis zaman gelap Eropah dahulu. Pemimpinnya perasan dapat mandat wahyu, tidak boleh dikritik yang menatijahkan diktatorship kerana tiada semak dan imbang.
Al-Farabi menjelaskan semua kepincangan ini bermula dari kekeliruan dalam mentakrifkan erti kebahagiaan yang hakiki dalam kehidupan.
Justeru cuba nilai, adakah madani yang dibicarakan hari ini mempamerkan unsur-unsur yang telah dijelaskan di atas.
USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
12 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 12/5/2023











