PUSPAL wajar bertegas halang artis Barat promo LGBT

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyarankan agar Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bertegas dengan kemasukan artis yang terang-terangan mempromosi LGBT daripada membuat persembahan di negara ini. 

Seharusnya kita sedar bahawa agenda normalisasi LGBT dalam negara sentiasa berlaku melalui jarum yang sangat halus. Tindakan yang segera dan tegas pula sangat wajar bagi membendung perkara tersebut daripada terus meracuni pemikiran anak bangsa walaupun secara tidak langsung. 

DUPP menegaskan bahawa PUSPAL perlu bertindak secara aktif dalam hal ini. Sikap keterbukaan yang tiada sempadan serta garis panduan yang khusus dalam membendung kemasukan artis yang mempromosi LGBT hanya menambah masalah sosial anak muda dalam negara.

DUPP telah berulang kali mengingatkan Kerajaan supaya garis panduan terhadap PUSPAL perlu sentiasa ditambah baik termasuklah daripada sudut keanggotaan dan peranan agensi di dalamnya. Peranan agensi agama seperti JAKIM wajar diketengahkan bagi memastikan peranan PUSPAL yang lebih komprehensif. 

Dalam masa yang sama, DUPP menyarankan agar ada satu usaha ke arah penggubalan peruntukan undang-undang yang khusus bagi membentengi negara daripada ancaman LGBT. Ia bagi memastikan negara bebas daripada normalisasi budaya tersebut serta mengekalkan dasar menolak pengaruh budaya LGBT. 

Tambahan lagi, penganjuran sebarang bentuk program yang merosakkan nilai dan jati diri golongan muda dalam negara bertentangan dengan imej ketimuran serta dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bertujuan membentuk, mengangkat serta mengekalkan identiti budaya yang diamalkan di Malaysia.

YB UST. DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -