
ALOR SETAR: Rumah Terbuka PAS Pusat yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah mencatat kehadiran luar biasa, hampir dua kali ganda sasaran awal 30,000 orang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kehadiran mencecah lebih daripada 50,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kata beliau, majlis Rumah Terbuka PAS Pusat itu merupakan acara tahunan yang diadakan di negeri-negeri mengikut giliran.
“Tahun ini di Kedah, tahun lepas di Perak. Kita buat sekali dan satu tempat sahaja setiap tahun. Tak mahu susahkan orang,” ujarnya ketika ditemui.
Sementara itu, kata Takiyudin, semua perbelanjaan rumah terbuka itu menggunakan duit parti dan bukannya sumber daripada kerajaan.
“Kita jayakan dengan sumbangan kewangan daripada ahli PAS, kawasan dan lain-lain.
“Walaupun kita laksanakan di negeri yang ditadbir PERIKATAN NASIONAL (PN), kita tak ambil dari sumber kerajaan atau dana awam. Kita guna duit kita sendiri,” tambahnya.
Antara yang turut hadir pada majlis berkenaan termasuklah Ketua Pembangkang PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. – HARAKAHDAILY 6/5/2023











