
Lionel Messi telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal musim depan, sumber yang rapat dengan kapten Argentina yang memenangi Piala Dunia di Qatar, memberitahu Reuters.
Tawaran daripada kelab Saudi itu adalah satu-satunya yang diterima Messi setakat ini, kata sumber itu. Media Argentina melaporkan bahawa tawaran itu bernilai sekitar AS$400 juta setahun.
Al-Hilal tidak menjawab permintaan untuk mengulas laporan ini.
Messi yang berusia 35 tahun juga dikaitkan dalam media dengan perpindahan kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya, Barcelona, selain kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat, Inter Miami disebut-sebut sebagai antara destinasi lain yang bakal disertainya.
Dia digantung oleh kelabnya sekarang, Paris St Germain (PSG) pada awal minggu ini selepas membuat perjalanan tanpa kebenaran ke Arab Saudi. Akhbar sukan Perancis, L’Equipe, melaporkan bahawa PSG memutuskan tidak menggunakan pilihan untuk memperbaharui kontraknya untuk musim ketiga.
Messi ialah Duta Pelancongan Arab Saudi, manakala pesaing lamanya, Cristiano Ronaldo, menandatangani kontrak untuk kelab Saudi, Al-Nassr pada Disember lalu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai sekitar AS$220 juta setahun.
Sumber yang rapat dengan Messi memberitahu Reuters bahawa penggantungan itu dikenakan selepas penyerang itu memberitahu PSG, dia tidak akan tinggal di Paris selepas musim ini dan merasakan kelab itu tidak mempunyai perancangan untuk dirinya.
Selain itu, sumber berkenaan menyatakan bahawa PSG tidak mempunyai latihan yang dijadualkan pada Isnin dan keputusan untuk mengadakan sesi latihan hanya dibuat selepas Messi berada di Arab Saudi.
Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan PSG menafikan perkara ini dan memberitahu Reuters bahawa Messi melakukan perjalanan tanpa kebenaran kelab Perancis itu dan walaupun terdapat sesi latihan yang dijadualkan pada Isnin.
Sumber itu tidak mengulas sama ada Messi sudah memberitahu PSG, dia berhasrat untuk meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini. – REUTERS











