
Erling Haaland menjaringkan gol ke-35 Liga Perdana Inggeris untuk memastikan Manchester City menang selesa 3-0 mengatasi West Ham United, sekali gus membawa pasukannya kembali ke puncak liga.
Pemain Norway itu menamatkan kedegilan West Ham apabila menjaringkan gol selepas 70 minit untuk menjadikannya penjaring terbanyak dalam satu musim Liga Perdana.
Dia juga mencatatkan jumlah gol dalam semua pertandingan untuk City pada musim pertamanya kepada 51, iaitu kira-kira satu gol untuk setiap juta Pound yang City bayar kepada Borussia Dortmund.
“Menakjubkan. Dia baru 22 tahun dan liga masih berbaki lima perlawanan lagi. Kami memang menjangka dia menjaringkan gol, tetapi untuk memecahkan rekod Cole dan Shearer… dia istimewa,” kata Pengurus City, Pep Guardiola.
City yang mengejar tiga kejuaraan memulakan perlawanan di tempat kedua selepas Arsenal menewaskan Chelsea. Dua percubaan ke gawang West Ham dinafikan oleh tiang gol ketika West Ham yang diancam penyingkiran beraksi kemas pada babak pertama.
Namun Nathan Ake memecah kebuntuan lima minit selepas rehat melalui tandukan hasil sepakan percuma.
Haaland meredakan ketegangan di Stadium Etihad ketika dia meledak gol kedua City hasil hantaran Jack Grealish untuk menewaskan Lukasz Fabianski. Jaringan itu juga melepasi angka 34 gol yang dikongsi bersama Andy Cole dan Alan Shearer sejak sekian lama,
Pemain gantian, Phil Foden kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan rembatan lambung hebat pada minit ke-85.
City yang memburu kejuaraan kelima dalam enam musim di bawah kendalian Pep Guardiola, memperoleh 79 mata daripada 33 perlawanan, manakala Arsenal dengan 78 mata tetapi bermain lebih banyak perlawanan. West Ham kekal di tempat ke-15, empat mata di atas zon penyingkiran.
Skuad kendalian David Moyes pasti menjangkakan serangan bertali arus City dan tidak kecewa kerana menghabiskan hampir keseluruhan babak pertama di kawasan sendiri. – REUTERS











