
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali meraikan undangan Pegawai Diplomatik dan Protokol, Kedutaan Jepun, Masabuchi Kana yang mahu mengenali PAS lebih dekat.
Pertemuan tersebut diadakan di restoran halal makanan authentik Jepun di sini, semalam.
Dr Halimah menerangkan PAS adalah parti yang mempunyai prinsip yang jelas, bertindak di atas kesedaran bahawa Tuhan Yang Esa Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
Ahli Parlimen Kapar itu berkata, integriti dan akauntabiliti adalah perkara asas bagi PAS dan telah terbukti di bawah pemerintahan parti itu.
Katanya, pimpinan dan ahli PAS bergerak untuk kejayaan dunia hingga akhirat dan bukan memburu kejayaan dunia semata-mata.
Beliau menjelaskan bahawa PAS tegas dengan prinsip, tidak mahu berkompromi walaupun mungkin kalah atau rugi jawatan dan peruntukan.
Menurutnya, PAS telah membuktikan kebajikan dan keadilan rentas kaum di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta komited untuk melebarkannya di mana jua jika PAS terus diberi kepercayaan memimpin dan mengurus tadbir.
Bagaimanapun katanya, sedikit kelemahan yang PAS akui dalam menyebarkan maklumat tepat mengenai tata kelola baik dan kebajikan inklusif parti di seluruh negara akan diambil tindakan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2023











