
ALOR SETAR: Semua pegawai masjid lantikan kerajaan negeri akan menerima elaun khas Aidilfitri sebanyak RM300 pada 17 Mei ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bayaran itu sepatutnya dibuat sebelum Aidilfitri, tetapi terdapat beberapa masalah menyebabkan terpaksa ditangguh sehingga 17 Mei.
“Keputusan awal sebelum ini, elaun khas kepada pegawai masjid lantikan kerajaan negeri adalah sebanyak RM200 tetapi keputusan terbaharu, kita naikkan kepada RM300 seorang dan akan dibayar pada 17 Mei ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata, bayaran itu melibatkan 260 pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal dan siak lantikan di negeri ini.
Sementara itu, katanya kira-kira 500 pegawai masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerima elaun khas Aidilfitri sebanyak RM600 seorang.
Katanya, pegawai lantikan JAKIM yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan guru takmir menerima peruntukan terus dari jabatan berkenaan.
“Jumlah elaun khas pegawai masjid lantikan kerajaan negeri dan JAKIM tak sama sebab keupayaannya juga berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2023











