Isu pengampunan dari Perlembagaan Persekutuan

- Advertisement -

ADA yang minta saya komen isu pengampunan, berikut komen saya:

1. Sebenarnya pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ini bukanlah satu hak atau keistimewaan, tetapi satu peluang bagi mereka yang telah menjalani hukuman yang setimpal dan berkelayakan untuk menerima pengampunan setelah melalui proses tapisan tertentu.

2. Kuasa pengampunan yang diletakkan kepada Institusi Istana menggambarkan bahawa ia adalah kuasa khusus yang tidak terikat dengan kuasa politik. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tidak berpihak, dan berada pada kedudukan yang lebih tinggi dari pemimpin politik. 

3. Kuasa memberikan pengampunan tidak termasuk dalam perkara yang perlu dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar, kerana kuasa ini dilaksanakan melalui mekanisme khusus yang ditentukan oleh Perlembagaan.

4. Perkara 42(4) dan (11) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan. Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan bukannya nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar. 

5. Perlembagaan tidak menyebut secara jelas faktor-faktor yang melayakkan seseorang pesalah untuk mendapat pengampunan. Namun apa yang pasti, Lembaga Pengampunan bukan mahkamah. Kuasa pengampunan bukan kuasa untuk menilai semula keputusan mahkamah, apatah lagi untuk mempertikai kewibawaan mahkamah atau mana-mana hakim.

6. Kuasa pengampunan juga tidak boleh digunakan atas asas yang bersifat politik, misalnya memberikan pengampunan kononnya atas sebab seseorang itu menjadi mangsa konspirasi politik. Jika politik dijadikan alasan untuk mewajarkan pengampunan, sistem keadilan dan kehakiman kita akan runtuh. Parti yang menang boleh menentukan siapa bersalah dan siapa tidak bersalah.

7. Latar belakang atau jasa seseorang yang didapati bersalah bukan satu jaminan bahawa dia berhak untuk mendapat pengampunan. Pengampunan juga tidak diberikan sebagai satu keistimewaan kepada seseorang yang pernah menjadi pemimpin utama negara atau apa-apa keistimewaan lain.

8. Situasi yang mungkin mewajarkan pengampunan adalah seperti apabila pesalah telah menjalani hukuman yang setimpal, menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman. Inilah amalan biasa selama ini, yang juga selari dengan prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan dan undang-undang.

9. Prinsip dan falsafah Islam berkaitan pengampunan hukuman jenayah perlu diberi perhatian yang mendalam. Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. 

10. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah secara asasnya tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Keputusan hakim adalah muktamad. Jika ingin dipersoalkan sekali pun, ruang yang diberikan adalah melalui proses rayuan dan semakan yang dikemukakan kepada mahkamah yang lebih tinggi. Pemerintah tidak berhak campur tangan terhadap keputusan mahkamah.

11. Pengampunan hanya relevan dalam konteks pesalah yang telah menjalani hukuman dan didapati berkelakuan baik dan insaf dengan kesalahannya. 

12. Jika dirujuk Peraturan 54, Peraturan-peraturan Penjara 2000, di bawah Akta Penjara 1995, laporan pertama bagi pesalah yang dihukum penjara hanya dikemukakan selepas empat tahun. Laporan ini yang perlu menjadi asas kepada pertimbangan Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan berkaitan rayuan pengampunan. Jadi sepatutnya pertimbangan pertama pengampunan  hanya dibuat selepas laporan tersebut dikemukakan.

13. Dalam kes Dato’ Seri Najib, beliau didapati bersalah pada 23 Ogos 2022. Petisyen pengampunan dikemukakan sepuluh hari kemudian iaitu pada, 2 September 2022. Walau pun petisyen itu dikemukakan cepat, ia bukan satu asas yang kukuh untuk memberikan keistimewaan kepada beliau untuk mendapat pertimbangan khas berbanding amalan biasa. 

14. Perlu diingat bahawa pengampunan segera iaitu lebih awal daripada empat tahun akan menimbulkan persoalan terhadap kewibawaan sistem keadilan negara. Proses siasatan, pendakwaan, perbicaraan di pelbagai peringkat mahkamah menjadi sia-sia dan tidak bermakna dengan pemberian pengampunan segera. 

15. Setiap orang sama di sisi undang-undang. Prinsip ini mesti dipegang kukuh agar rakyat yakin dengan kedaulatan undang-undang dan kewibawaan sistem keadilan. Kita tidak mahu mahkamah dan kuasa pengampunan dalam negara kita menjadi bahan tertawa seluruh dunia. Bayangkan, lima tahun lepas kita bercakap ke seluruh dunia ketegasan kita untuk membanteras rasuah dan menangani isu 1MDB dengan penuh ketegasan, tetapi kini wujud kecenderungan untuk melupakan segala ketegasan itu. Kita mengharapkan Malaysia yang adil dan dipimpin dengan penuh kejujuran. 

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia
2 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 2/5/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1139212551/posts/pfbid02KsRoz3Lw8u2TvFmQyrx4g2qaqquSGUopp3KpwKX3PaxopMxpKbpbdhqP15hfAMnWl/?mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -