Australia tindak keras tangani penagihan vape

- Advertisement -

SYDNEY: Australia akan memperketatkan undang-undang e-rokok, termasuk memperkenalkan kawalan baharu ke atas import dan kaedah pembungkusan untuk menangani penagihan vape, terutama dalam kalangan kanak-kanak, tindakan keras terhadap industri tembakau dalam tempoh sedekad.

Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah untuk mengharamkan semua vape pakai buang dan import vape bukan preskripsi, menyekat perisa dan warna serta mengurangkan tahap nikotin yang dibenarkan, menyasarkan vape hanya dijual sebagai produk untuk membantu berhenti merokok.

- Advertisement -

“Sama seperti taktik pemasaran produk rokok, syarikat tembakau mempromosikan satu lagi produk ketagihan, membungkusnya dalam bungkusan berkilat dan menambah perisa untuk mencipta generasi baharu penagih nikotin,” kata Menteri Kesihatan, Mark Butler dalam ucapan di Kelab Akhbar Nasional.

Mengikut peraturan baharu, produk vape dikehendaki mempunyai pembungkusan seperti produk farmaseutikal.

Menghisap vape atau e-rokok, secara meluas dilihat sebagai pilihan yang lebih selamat untuk menghisap rokok dan produk untuk membantu perokok berhenti, melibatkan pemanasan cecair yang mengandungi nikotin dan mengubahnya menjadi wap yang disedut oleh pengguna.

Bagaimanapun, Butler menyatakan bahawa vape kini menjadi produk rekreasi dan kebanyakan dijual kepada remaja dan golongan muda.

“Ini adalah produk yang menyasarkan anak-anak kita, dijual bersama gula-gula dan coklat. Menghisap vape menjadi isu tingkah laku nombor satu di sekolah menengah dan semakin berleluasa di sekolah rendah,” kata Butler.

Bajet Persekutuan yang akan dikeluarkan minggu depan, merangkumi A$234 juta (AS$155 juta) untuk membiayai langkah baharu bagi melindungi daripada bahaya akibat produk tembakau dan vape.

Australia mempunyai antara undang-undang anti-merokok paling keras di dunia dan pada 2012 memaksa pengeluar untuk menghentikan bungkusan berwarna-warni dan sebaliknya, menjual rokok dalam paket seragam yang menjemukan tanpa perhiasan.

Firma tembakau kemudian beralih kepada e-rokok yang menawarkan perisa berbeza dan reka bentuk yang dicipta menyasarkan generasi pengguna baharu. – REUTERS

- Advertisement -