Kelantan sedia subsidi rumah sewa kepada mangsa banjir

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan subsidi rumah sewa sebanyak RM300 sebulan kepada mangsa banjir termenung susulan terkesan pembinaan projek Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bantara Kanan Ahmad Yakob berkata, pemberian subsidi itu diberikan selama enam bulan sepanjang musim tengkujuh dalam tempoh setahun bermula tahun ini sehingga 2026.

Katanya, pemberian subsidi sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya itu adalah bagi meringankan beban mangsa banjir selain dapat membantu mereka untuk tinggal di tempat yang lebih selesa dan selamat.

“Pemilihan untuk pemberian subsidi rumah sewa ini juga akan melalui tapisan ketua kampung serta pejabat ADUN dan ahli parlimen bagi memastikan mereka yang terlibat layak menerima subsidi yang disediakan.

“Diharapkan dengan pemberian subsidi ini dapat memberi kegembiraan buat mereka dan kerajaan negeri akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat rakyat dinegeri ini terutama buat mereka yang terlibat dengan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengadakan Majlis Serahan Kunci 10 Rumah ‘home2live’ di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir majlis sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, ADUN Gual Periuk, Dato’ Mohamad Awang dan Presiden Muslim Care, Zulkifli Wajihan.

Mengulas lanjut katanya, mereka yang terlibat dengan pemberian subsidi rumah sewa itu majoriti adalah di kawasan Rantau Panjang yang mana sedia maklum terlibat dengan banjir termenung antaranya Kampung Tersang, Gual To’ Deh serta beberapa kawasan lain lagi.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan lain juga akan terus dikenal pasti agar mereka terlibat dapat sama-sama menerima kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Justeru, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana agensi tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini agar sama-sama dapat meringankan beban dan nasib yang ditanggung mereka terlibat. – HARAKAHDAILY 26/4/2023

- Advertisement -