
PARIS: Seorang pemanjat bangunan yang dikenali sebagai `Spiderman Perancis’ memanjat bangunan pencakar langit 38 tingkat di sini, untuk menunjukkan sokongannya kepada penunjuk perasaan yang membantah undang-undang pencen yang akan melanjutkan usia persaraan di negara itu.
Alain Robert yang kini berusia 60 tahun, memanjat tanpa tali pinggang, hanya menggunakan tangan kosong dan sepasang kasut khas untuk memanjat.
“Saya di sini untuk menunjukkan sokongan kepada mereka yang menentang pembaharuan pencen,” katanya sebelum mula memanjat bangunan pencakar langit 150 meter (492 kaki) di daerah perniagaan La Defense di sini.
“Saya di sini untuk memberitahu (Presiden) Emmanuel Macron supaya turun semula ke bumi … dengan memanjat tanpa jaring keselamatan.”
Robert berkata, pembaharuan pencen yang Macron tanda tangani menjadi undang-undang pada hujung minggu selepas protes jalanan selama berbulan-bulan, bermakna, digabungkan dengan kehilangan pendapatan akibat pandemik COVID, dia perlu terus bekerja dan memanjat lebih lama.

Melalui pembaharuan itu, umur persaraan Perancis secara beransur-ansur akan meningkat daripada 62 kepada 64 tahun.
Robert telah memanjat lebih 150 struktur yang menjulang tinggi di seluruh dunia, termasuk Burj Khalifa Dubai – bangunan tertinggi di dunia – Menara Eiffel dan Jambatan Golden Gate di San Francisco. – REUTERS











