Memiskinkan kehidupan dengan sikap malas tegar

- Advertisement -

SAYA lahir dalam keluarga miskin, membesar sebagai anak orang miskin, hidup sebagai orang miskin dan sampai sekarang berjiwa orang miskin.

Kami 13 beradik membesar sebagai anak orang miskin, ayah dan mak bermati-matian kerja demi kelangsungan hidup sekeluarga dibantu kami anak-anak. Alhamdulillah, kami tak pernah lapar dan semua kami ke sekolah. 10 orang adik beradik ada rezeki masuk Universiti. 

Setiap tahun bila nak masuk sekolah, mak akan pastikan semua anak-anak dapat uniform baru walaupun hanya beli di Pekan Sehari Tembila. Baju dan kasut sekolah kena basuh sendiri biar bersih walaupun dah tak baru lagi. Rumah tak ada elektrik kita gosok guna seterika arang. Biar nampak kemas walaupun murah. Ada ketikanya setiap hari kena basuh baju sebab berpeluh pergi balik jalan kaki jarak 2 batu ke sekolah. Keperluan sekolah kami anak-anak sentiasa dipenuhi sehingga kami boleh belajar dengan sempurna.

Duduk kami di rumah kayu yang sederhana dibina hasil titik peluh kami sekeluarga. Walaupun hanya rumah kayu tapi bersih dan selesa. Sampai sekarang masih guna air telaga lagi. 

Nak ajak kita renung, walaupun miskin, tak perlukan kos pun untuk ambil parang dan tebas semak samun keliling rumah. Ambil penyapu dan jadikan halaman rumah bersih dari sampah sarap. Boleh saja ringankan tangan pastikan keadaan dalam rumah tersusun rapi. Bukan perlu belanja pun untuk lipat dan susun kain baju, bersihkan sisa makan, buang sampah sarap dari dalam rumah dan pelbagai kerja lagi. 

Bukan syarat bila tuan rumah miskin maka segala pandangan yang tak sedap di mata ada di rumah kita walhal tuan rumah sihat saja. Lantai rumah sampai melekit dan berlumut. Boleh hidup dalam keadaan begitu. Lainlah kalau tuan rumah sakit terlantar. Apakah dengan sebab kita miskin maka anak-anak perlu ke sekolah dengan baju kotor dan comot. Nak basuh baju anak bukan perlukan kos pun. 

Banyak juga rumah orang miskin yang kemas dan tersusun rapi. Rumah kayu biasa tapi sedap mata memandang. Depan rumah macam-macam ditanam sayuran buat makan keluarga. Ayam itik ada. Kambing pun ada seekor dua. Sekali imbas, terdetik di hati bahawa tuan rumah ini rajin!

Pernah ada rumah yang diziarahi, ada beberapa keping papan lantai berlubang. Tuan rumah bagi tahu dah beberapa kali kaki anak dia jerlus. Ayah ada, muda sihat lagi. Duduk main pergi mari pergi mari tak tahu apa kerja buat. Bila tanya, bakpo dok kerja sedangkan banyak saja kerja boleh buat. Selamba saja dia jawab, dok tahulah. Kita mari ziarah pukul 11 pagi, muka baru bangun tidur. 

Tak apalah, ambe tolong ganti papan lantai, bukan banyak pun. Tapi mari memikir dan rasa tercabar juga bila kita sebagai lelaki, suami dan ayah boleh biar dan tengok saja lantai rumah berlubang, jerlus kaki anak berkali-kali tanpa berbuat apa-apa. Kotak rokok cigeratte ada sokmo dalam poket.

Malas adalah suatu penyakit manusia. Sebab itulah Rasulullah ajar kita berdoa.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -