
NEW YORK: Sebuah kemudahan tempat letak kereta empat tingkat, berhampiran Universiti Pace dan Bursa Saham New York, Manhattan di sini, runtuh dan meragut sekurang-kurang satu nyawa dan mencederakan lima yang lain, semalam.
Berikutan keadaan kemudahan itu yang tidak stabil selepas runtuhan, usaha mencari dan menyelamat dilakukan menggunakan peranti robotik selepas anggota bomba diarahkan keluar dari tempat kejadian.
Pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ada apa-apa, selain daripada keruntuhan struktur,” kata Pesuruhjaya Polis Bandar Raya, Keechant Sewell.
Rakaman video Reuters dari tempat kejadian, di blok daerah kewangan Manhattan dari Pusat Dagangan Dunia dan Bursa Saham New York, menunjukkan operasi menyelamat sedang dijalankan dan beberapa kereta bertindan di atas satu sama lain di tengah-tengah kepingan konkrit yang runtuh.
Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, empat lagi dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan, manakala mangsa keenam yang cedera menolak rawatan perubatan, kata Ketua Operasi Jabatan Bomba New York, John Esposito.
Beliau memberitahu bahawa semua mangsa adalah pekerja yang berada di kemudahan tempat letak kereta ketika runtuh.
“Keadaan tempat kejadian membahayakan anggota bomba kami,” katanya pada taklimat berita lewat petang. Esposito berkata, anggota bomba yang diarahkan keluar dari struktur itu, masih menjalankan kerja mencari dan menyelamat kerana “bangunan itu terus runtuh.”
Katanya, peranti robot kemudian digunakan, menandakan kali pertama anggota bomba bandar raya ini menerbangkan pesawat dron ke dalam bangunan yang tumbang untuk melakukan kerja pencarian.

Universiti Pace, sebuah kampus kolej swasta yang pelajar dan kakitangan menggunakan kemudahan tempat letak kereta itu, dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, kata pihak berkuasa.
“Bangunan ini benar-benar tidak stabil,” kata Datuk Bandar New York, Eric Adams.
“Semuanya berlaku begitu pantas,” kata Thai Nguyen, 35, yang tinggal di Chinatown dan merupakan pengurus Kollective Klub berhampiran.
“Kedai kami hanya selang dua bangunan dari kemudahan tempat letak kereta itu dan kami juga mempunyai sebuah hotel di sebelah kami. Orang ramai berlari masuk bertanya sama ada mereka boleh berlindung dalam kedai kami.”
Sandy Imhoff, 78, yang tinggal di sebuah apartmen bersebelahan jalan yang sama, berkata dia melarikan diri dari rumahnya bersama dua ekor kucingnya apabila bangunannya mula bergegar akibat kesan runtuhan.
“Bangunan saya bergegar. Saya hanya sempat menangkap anjing saya dan meninggalkan bangunan itu,” kata Imhoff. “Saya sangat risau tentang kucing saya. Namun, sekurang-kurangnya semua orang di bangunan saya dapat berpindah.” – REUTERS











