Pilih laluan alternatif elak kesesakan lebih teruk

- Advertisement -

TUMPAT: Anak-anak perantauan yang akan pulang ke Kelantan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hujung minggu ini dinasihat menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, terdapat penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis bermula di hadapan Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke lampu isyarat Taman Wangi.

Katanya, penutupan sementara itu ekoran pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (CSR) di laluan tersebut.

“Kerana itu, anak-anak perantau hendaklah sentiasa peka dan menggunakan laluan alternatif ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Mereka boleh menggunakan jalan Raub-Merapoh-Gua Musang atau laluan Simpang Pulai, Ipoh-Gerik atau Lebuh Raya Pantai Timur (LPT),” katanya ditemui selepas program Ziarah Rakyat Prihatin Dun Pengkalan Kubor, dekat sini. (Foto atas)

Sebanyak 20 keluarga disantuni petugas Dun Pengkalan Kubor termasuk Skuad Kita Cakna, Ameerah, Muslimat dan Pemuda Dun berkenaan.

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail dilapor memberitahu kesesakan dijangka lebih teruk di Gua Musang jika Jalan Persekutuan FT2747 tidak ditutup ketika perantau pulang ke kampung. – HARAKAHDAILY 17/4/2023

- Advertisement -