‘Saya tahu, surat itu ada’ – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya mempunyai bukti berkenaan surat agar beliau dinafikan menjadi wakil Kedah untuk menganggotai Majlis Kewangan Negara.

- Advertisement -

Katanya, surat daripada kerajaan persekutuan itu dihantar ke Pejabat Tuanku Sultan Kedah agar penyertaan beliau pada majlis itu diganti dengan orang lain.

“Saya ada bukti. Surat itu ditunjukkan kepada saya. Saya tahu, surat itu ada,” jelasnya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai Menteri Besar, apa saja surat yang sampai ke Wisma Darul Aman, semuanya dalam pengetahuannya.

Pada sidang media sempena Majlis Iftar Anak-Anak Kedah di Perantauan bersamanya, 9 April lalu, Sanusi ada memaklum cubaan kerajaan persekutuan agar wakil Kedah dalam Majlis Kewangan Negara diganti dengan orang.

Beliau juga memaklumkan, pihak Kementerian Kewangan (MOF) telah mengutus surat kepada Tuanku Sultan Kedah atas tujuan ‘melobi’ agar majlis yang sepatutnya diwakili Menteri Besar diperkenan menggantikannya dengan orang lain.

Berikutan itu beliau didakwa cuba berdrama sedangkan dalam masa yang sama, pihaknya telahpun mempunyai bukti berkenaan cubaan tersebut.

“Saya bukan nak cari gaduh tetapi hasrat saya agar perkara itu tidak berjaya,” tambahnya lagi.

Sebelum ini Sanusi juga berkata, tindakan itu akan kelihatan janggal sekiranya Kedah tidak diwakili beliau kerana konvensyen Majlis Kewangan Negara akan diwakili semua Menteri Besar dan Ketua Menteri setiap negeri.

“Tiap perkara yang saya cakap adalah perkara yang saya tahu dan dalam pengetahuan saya.

Sepatutnya apabila menjadi Perdana Menteri, menteri dan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO), mereka menggunakan bahasa pentadbiran bukan bahasa politik.

“Jangan ambil tindakan politik kepada kerajaan negeri lain. Kedah bukan negeri ‘belasahan’ sebaliknya negeri yang berdaulat dan perlu dihormati.

“Sikap mendiskriminasi sebegini, rakyat akan nampak. Tak boleh buat begitu,” tambah beliau lagi.

Sanusi juga menegaskan beliau tidak pernah berhasrat untuk mencari gaduh terhadap kerajaan persekutuan sebaliknya memperbetulkan kesilapan yang mereka lakukan.

Malah katanya, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan mana-mana pemimpin kerajaan persekutuan bahkan menganggapnya semua sebagai kawan.

“Saya tak ada masalah apa-apa dengan pemimpin kerajaan persekutuan. Saya hanya memperbetulkan kesilapan mereka berkenaan Kedah.

“Mereka kemukakan fakta yang tidak betul berkenaan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), tentang Tanah Rizab Melayu dan lain-lain. Jadi saya perlu perbetulkanlah. Depa panas nak koyak, kenapa pula?” ujarnya.

Ujarnya lagi, kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini disambut dengan baik malah boleh berbual dan bergurau bersamanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2023

- Advertisement -