
ALOR SETAR: Seramai 3,924 orang terdiri daripada pengerusi dan setiausaha majlis ketua kampung (MKK) serta para pegawai masjid seluruh Kedah akan menerima bantuan khas Aidilfitri pada 18 April ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan sebanyak RM200 seorang itu melibatkan peruntukan RM784,800.
Katanya, bantuan khas itu melibatkan 772 pengerusi MKK, 766 setiausaha MKK dan 2,386 pegawai masjid melibatkan imam, bilal dan siak.
Berikutan itu beliau berharap bantuan yang sedikit itu dapat digunakan sebagai persiapan hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sanusi menyatakan demikian pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, ‘Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar’ akan diadakan pada 27 April (Khamis) di kediaman rasminya, Seri Mentaloon.
Jelasnya, dianggarkan lebih 50,000 pengunjung akan hadir memeriahkan majlis itu yang bermula dari jam 11.00 hingga 4.00 petang.
“Saya sendiri akan tumbangkan dua ekor lembu untuk menu gulai daging rias pisang.
“Datanglah beramai-ramai, bawalah ahli keluarga serta sahabat handai bersama,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/4/2023











