
KUALA TERENGGANU: Terengganu memperuntukkan RM43.452 juta untuk bayaran duit raya atau i-Fitri 2023 kepada rakyat yang layak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan itu akan dibayar kepada 144,840 ketua isi rumah (KIR).
Menurutnya, bayaran secara tunai itu dibuat di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 17 April ini.
“Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak akan menerima bantuan i-Fitri antara RM300 dan pengagihan secara tunai akan dilakukan secara berperingkat,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini, semalam. (Foto atas)
Katanya, hampir 148,000 yang telah memohon dan hanya tiga peratus ditolak kerana tidak mematuhi syarat.
Ini, jelasnya seperti pemohon merupakan penjawat awam kerana mereka mendapat bonus khas sebanyak RM700 daripada kerajaan.
“Ada juga kes yang ditolak kerana kesilapan nombor kad pengenalan,” katanya yang juga Adun Chukai.
Beliau menambah, bagi i-Perantau pula, pembayaran akan dibuat selepas hari raya kerana buat masa sekarang masih dalam proses pendaftaran.
“Pengagihan bantuan i-Perantau kepada mereka yang layak akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.
Antara syarat utama i-Fitri Perantau, bagi salah seorang KIR, mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.











