
Pemain Bayern Munich, Sadio Mane dan Leroy Sane, dilaporkan bergaduh di bilik persalinan selepas kekalahan kelab Jerman itu kepada Manchester City dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara, semalam.
Bild dan Sky Sports Jerman melaporkan bahawa Sane luka bibirnya dalam pergaduhan itu. Sebelum itu, mereka dilihat bertengkar di padang pada lewat permainan dan terpaksa dipisahkan oleh rakan sepasukan.
Pemain antarabangsa Senegal, Mane yang memenangi anugerah pemain bola sepak Afrika kali kedua tahun ini, dilaporkan mengadu mengenai cara pemain sayap Jerman, Sane bercakap dengannya selepas kekalahan 3-0 di Stadium Etihad.
Namun, Bayern Munich tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
Kekalahan kepada Manchester City mengulangi kekalahan terburuk Bayern dalam saingan Liga Juara-juara, apabila tewas dengan angka jaringan yang sama kepada Paris St Germain pada 2017. – REUTERS











