
KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) melantik tiga pemimpin iaitu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin bagi berunding dengan kerajaan berkaitan peruntukan ahli parlimen pembangkang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Fadillah Yusoff akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya kerajaan sebelum ini memaklumkan pembangkang akan diberi jumlah sama dengan ahli parlimen kerajaan iaitu RM800,000 iaitu lebih rendah daripada era pentadbiran PN.
“Sehingga hari ini kita masih belum menerima satu sen pun peruntukan daripada kerajaan, cuma pada hari akhir sidang Dewan Rakyat Perdana Menteri menyebut peruntukan sudah ada.
“Bagaimanapun Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya perundingan diadakan dan dimaklum kepada parlimen bahawa perbincangan perlu diadakan dengan Timbalan Perdana Menteri.
“Ekoran itu kita melantik tiga wakil bagi mengadakan perbincangan berkaitan peruntukan tersebut,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada asnaf yang disumbang Raja Perfume Malaysia di Pasir Tumboh petang semalam.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, semakin ramai rakyat yang terjejas menuntut ihsan kerajaan agar membantu mereka meringankan beban kos sara hidup.
Bagaimanapun katanya kerajaan sekarang mahu menjadikan wang simpanan pencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran membuat pinjaman di institusi kewangan, namun ia tidak diterima rakyat.
“Saya menerima berpuluh-puluh email setiap hari merayu mendesak kerajaan memberi kebenaran mereka mengeluarkan sebahagian wang caruman di KWSP.
“Orang ramai tidak setuju cadangan kerajaan untuk mereka membuat pinjaman di bank dengan mencagar wang simpanan di KWSP. Mereka kata mengapa perlu buat pinjaman di bank, sedangkan ada wang simpanan di KWSP,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023











