Polis Kelantan terima 85 permohonan permit jual mercun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan menerima 85 permohonan permit menjual mercun dan bunga api daripada peniaga di negeri itu sehingga sekarang.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah permohonan itu sebanyak 34 permit telah diluluskan, manakala 48 dalam proses dan tiga lagi ditolak kerana gagal memenuhi syarat termasuk lokasi jualan tidak sesuai.

“Kita menjangkakan ramai lagi peniaga akan membuat permohonan untuk mendapatkan permit dan ia tidak akan disekat sekiranya mereka memenuhi syarat ditetapkan serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Permit yang dilulus memastikan peniaga perlu menjual mercun dan bunga api yang dibenarkan sahaja serta memastikan premis yang dijual sesuai.

“Mereka perlu jual mercun di tempat yang dipohon,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk Kepada Kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, petang semalam. (Foto atas)

Pada majlis itu sebanyak 680 bubur lambuk disumbang Nestle diagih kepada kakitangan IPK. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob dan Pengurus Nestle Malaysia Cawangan Pantai Timur, Awang Abdullah.

Muhamad Zaki juga berkata, polis sudah mengedarkan senarai mercun dan bunga api yang boleh dijual.

Namun kata beliau sekiranya menyalahi peraturan tindakan akan diambil. – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -