
ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau sedia membayar ganti rugi seperti diarah mahkamah berkaitan kes saman oleh seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar berkata, beliau sedia membayarnya kerana sebagai ahli dan pemimpin PAS, usaha mengekang dan memberhentikan kegiatan judi dipandang serius.
Menurutnya keputusan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen premis judi di seluruh Kedah bermula 1 Januari lalu membuktikan pihaknya serius mengekang kegiatan perjudian di negeri itu.
“Setelah PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambilalih pentadbiran Kedah pada 17 Mei 2020 kita membuat keputusan menghentikan pengeluaran lesen premis judi yang dibuat secara beransur bermula 2021 hingga Disember 2022,” katanya pada hantaran di media sosialnya semalam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengarahkan Sanusi membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Naib Presiden Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar termasuk RM15,000 kos ganti rugi berkaitan kes saman.
Bagaimanapun Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengarahkan bayaran RM50,000 itu dinaikkan ke RM120,000 kerana didapati masih rendah.
Pada 9 Oktober 2019 Mahfuz memfail saman terhadap Sanusi yang juga Adun Jeneri ekoran memuatnaik di laman sosialnya berkaitan ketidak kesungguhan bekas Timbalan Menteri itu berkenaan isu kewujudan premis Sport Toto di Pokok Sena.
Menteri Besar juga berkata, mulai Januari 2023 tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, sejajar dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang boleh merosakkan masyarakat. – HARAKAHDAILY 5/4/2023











