
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya sedia berbincang dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) bagi memastikan kelancaran lalu lintas di plaza tol ketika musim perayaan.
Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, cadangan Senator Datuk Razali Idris untuk mencabut sementara palang di plaza tol bagi memastikan aliran trafik lebih lancar cadangan yang baik.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh menjawab secara tepat kerana perlu diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan LLM dan pengendali lebuh raya.
Sebelum itu Razali ketika mengemukakan soalan tambahan mencadangkan supaya dibuang sementara palang di plaza tol yang menjadi punca aliran trafik tidak lancar.
Katanya palang yang terdapat di setiap lorong di plaza tol antara yang menjadi faktor pergerakan kenderaan menjadi perlahan.
“Bolehkah pihak pengendali lebuh raya membuang sementara palang tersebut bagi membolehkan pergerakan kenderaan lebih lancar.
“Kenderaan yang melalui plaza tol tersebut boleh ‘diditect’ menggunakan kamera atau peralatan khas untuk melancarkan lagi pergerakan kenderaan,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Kerja Raya pernah mengemukakan cadangan untuk menghapuskan palang tol sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata perkara tersebut sudah dipersetujui jemaah menteri dan masih di peringkat perbincangan bersama konsesi lebuh raya.
Menurutnya juga sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menggunakan teknologi pengesan elektronik akan digunakan bagi membolehkan pengguna melepaskan pembayaran secara automatik tanpa perlu memperlahankan kenderaan di plaza tol.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan cadangan tersebut begitu baik bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di plaza tol. – HARAKAHDAILY 5/4/2023




















