
KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka siap secara keseluruhannya pada 2025, khususnya bagi jajaran di Selangor.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), status kemajuan semasa pembinaan lebuh raya itu bagi tempoh masa berakhir 15 Januari 2023 adalah sebanyak 84.19 peratus.
Demikian jawapan bertulis KKR kepada soalan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Ahmad Yunus meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status pembangunan lebuh raya itu dan adakah kajian kesan trafik dan perancangan naik taraf jalan penghubung ke bandar-bandar berdekatan telah dipertimbangkan.
Menurut KKR lagi, kesan pembinaan lebuh raya itu terhadap trafik dan perancangan naik taraf jalan penghubung ke bandar-bandar berdekatan telah dipertimbangkan dan diambil kira semasa peringkat perancangan, reka bentuk dan pembinaan.
“Pertimbangan ini telah mengambil kira kajian impak trafik yang telah dijalankan dengan mematuhi rancangan tempatan, pembangunan setempat dan lain-lain,” ujar KKR.
Katanya, lebuh raya itu merentasi Selangor dan Perak sejauh 316 km dibina di sepanjang pesisiran pantai barat untuk kemudahan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya ke utara.
Menurut KKR lagi, panjang jajaran lebuh raya yang dilaksanakan secara penswastaan oleh West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCESB) itu adalah 233 km manakala jajaran sepanjang 83 km dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan.
Pembukaan lebuh raya itu secara berperingkat telah bermula pada 2019 melibatkan Seksyen 5 di Selangor dari persimpangan Bandar Bukit Raja ke persimpangan Kapar serta Seksyen 8, 9 dan 10 di Perak, dari persimpangan Hutan Melintang ke persimpangan Teluk Intan dan dari persimpangan Kampung Lekir ke persimpangan Beruas.– HARAKAHDAILY 31/3/2021




















