RM62.7 juta laksana Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan sebanyak RM62.7 juta bagi melaksana Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj sejak ia mula diperkenalkan tahun 2011.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, skim yang diperkenalkan untuk membantu pasangan pengantin keluarga miskin menerima bantuan sebanyak RM1,000 sebagai hadiah perkahwinan.

“Sehingga kini seramai 62,700 pasangan menerima skim berkenaan dan hanya pasangan yang layak sahaja menerima sumbangan iaitu pendapatan pemohon di bawah RM1,000 sebulan.

“Bantuan ini untuk membantu mana-mana pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan bagi meringankan beban mereka sama ada untuk menampung kos kenduri atau perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Raikan Cinta Perdana dan penyampaian sumbangan Gerbang Az-Ziwaaj kepada 200 pasangan pengantin di 45 DUN negeri itu hari ini.

Program berkenaan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad 1V sempena program Gegey Gegok Anok Muda Kelantan 2023.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta setahun untuk Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj diberikan kepada pasangan pengantin yang layak melalui permohonan yang dibuat di peringkat DUN masing-masing.

Hadir sama pada majlis itu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat, isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid dan isteri Speaker, Datin Rowiah Ghazali. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -