
KOTA BHARU: Madinah Ramadan merupakan program tahunan yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bertujuan bagi menghidupkan bulan Ramadan.
Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, program tersebut dianjurkan sejak 1993 sehingga sekarang.
“Ini bermakna hampir 29 tahun program ini diadakan. Lokasi tetap terkini di Dataran Warisan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya ketika melancarkan Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Izani Husin, Yang Dipertua MPKB BRI Rosnazli Amin, ahli-ahli Majlis MPKB-BRI dan Imam Madinah Ramadan Syeikh Hisham Abdul Bari.
Program berkenaan diadakan setiap tahun bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbngan untuk dimanfaatkan di Madinah Ramadan sepanjang Ramadan tahun ini.
Syarikat-syarikat korporat, peniaga, dan orang ramai tampil menghulur sumbangan bagi mengisi tabung terbabit.
Ahmad juga berkata, Madinah Ramadan mendapat sambutan amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan warga Kota Bharu, malah pelancong dari dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 10/3/2023











