
GOMBAK: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata ada pihak yang menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana takut dengan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Katanya, ini kerana PN telah mewujudkan satu gelombang besar yang melanda negara.
Menurut beliau, PN telah menunjukkan sokongan luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
“Anak-anak muda hampir semua menyokong Perikatan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Jadi cara untuk menjatuhkan kita ialah menumbangkan pimpinan-pimpinan PN dan membuat tuduhan tak berasas.
“Ini kerana mereka tahu kalau tidak dibuat begitu kita akan mengancam mereka,” katanya pada ceramah di Pusat Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, di sini sebentar tadi.
Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan ia adalah tindakan secara pilihan iaitu memilih pimpinan PN sebagai satu strategi untuk mengurangkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL.
Beliau berkata, malam ini satu detik permulaan yang penting dalam sejarah dan menjadi teras kepada perjuangan dan akan diperjuangkan sehingga berjaya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023











