
KUALA LUMPUR: Bagi kanak-kanak yang dijumpai dan telah disahkan tidak mempunyai waris, mereka adalah merupakan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan seperti mana Perenggan 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] iaitu tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kaedah penentuan identiti dan agama kanak-kanak itu ditentukan melalui Garis Panduan Mengenai Pengurusan Kanak-Kanak Yang Telah Dibuang Pindaan Tahun 2022 pada 8 September 2022.
“Garis panduan tersebut adalah sebagai panduan kepada pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam mengendalikan kanak-kanak yang telah dibuang,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff [PN-Rantau Panjang] di Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status kaedah penentuan identiti dan agama anak-anak terdampar (Al-Laqit) yang dijumpai dan telah disahkan tidak menjumpai waris bagi kanak-kanak tersebut.
Kata kementerian itu, garis panduan itu juga adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-46 pada 22 April 1999. – HARAKAHDAILY 9/3/2023











