
KUALA LUMPUR: Jalan raya di Kelantan perlu dilebarkan bagi mengatasi masalah kesesakan di negeri itu, terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) memohon Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan jumlah projek yang kerajaan perlu usahakan di seluruh Kelantan untuk mengatasi kesesakan itu.
“Berapakah projek jalan yang seharusnya dilebarluaskan di seluruh Kelantan yang sebenarnya menyumbang kepada masalah kesesakan, terutama pada musim perayaan atau cuti sekolah?
“Begitu juga, apakah usaha untuk memastikan semua projek sedia ada, yang sudah diluluskan di Kelantan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan?” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Memahami kegusaran Siti Zailah, Abdul Rahman berkata, situasi akan lebih memburuk setelah projek Lingkaran Tengah Utama atau Central Spine Road (CSR) selesai.
Beliau yakin akan berlaku kesesakan lalu lintas sehingga empat kilometer untuk memasuki bandar Kota Bharu kerana jalan mengecil (bottleneck).
“Kita dalam perancangan membuat kajian untuk menyelesaikan masalah itu. Ini kerana kawasan itu sangat sibuk, malah terdapat kawasan perumahan di kiri dan kanan jalan.
“Kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan segala masalah tersebut dan harap kalau boleh, cadangan Yang Berhomat tadi, boleh hantar secara rasmi surat kepada kita. Kita akan buat kajian tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023











