
KUALA LUMPUR: Seramai 3,505 orang graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Pendidikan yang telah berjaya dalam urusan temuduga yang terakhir bagi tahun 2022 untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), surat tawaran perlantikan telah dikeluarkan oleh SPP kepada calon-calon yang berjaya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada 27 Januari 2023.
KPM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Ibrahim meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah terkini lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Pendidikan yang belum mendapat penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan apakah langkah Kerajaan untuk mengatasi masalah ini.
KPM juga memaklumkan seramai 3,505 orang guru baharu akan ditempatkan ke sekolah bawah KPM seluruh negara yang berkuat kuasa pada 20 Mac 2023.
“KPM melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kepada tiga kriteria iaitu keperluan opsyen/kluster mata pelajaran, kekosongan jawatan dan kepentingan perkhidmatan,” ujarnya.
Tambahnya, KPM juga melaksanakan penempatan guru dengan memberi perhatian kepada sekolah-sekolah yang mengalami kekurangan guru supaya dapat mengimbangi kekosongan guru di setiap sekolah.
“KPM sentiasa memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah yang berada di luar bandar dan pedalaman semasa melaksanakan penempatan guru baharu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/3/2023











