14,098.26 hektar tanah sawah terbiar

Dato' Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2022, dianggarkan seluas 14,098.26 hektar daripada 103,563 hektar tanah terbiar merupakan tanah sawah.

- Advertisement -

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, jumlah itu melibatkan sejumlah 9,362 lot di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan (tidak termasuk Sabah dan Sarawak).

Menurut KPKM, jumlah itu adalah tinggi, yang mana jika berdasarkan purata pengeluaran hasil semasa (3.768 tan metrik per hektar), sejumlah 53,122 tan metrik padi dapat dihasilkan sekiranya tanah tersebut dimajukan.

KPKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib [PN-Maran] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ismail dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berapa jumlah keluasan tanah terbiar yang dikategorikan sebagai sawah yang tidak dimajukan oleh pemilik (penduduk luar bandar) dan apakah Kementerian berhasrat untuk memajukannya dalam usaha menambah pengeluaran beras negara sekali gus mengurangkan beras yang di import dari negara luar.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa berusaha untuk memajukan tanah sawah terbiar pada masa yang sama mengoptimumkan sumber tanah sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Kementerian melalui Jabatan Pertanian Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha antaranya mengenal pasti kawasan tanah sawah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan tambahan penanaman semula padi.

Namun, usaha ini menghadapi cabaran antaranya dari segi sistem pengairan dan perparitan, pemilikan tanah yang ramai, keluasan tanah yang kecil dan infrastruktur yang tidak sempurna. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -