
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin jika syariat Islam dapat dilaksanakan dalam negara ini orang bukan Islam akan ramai memeluk Islam.
Menurut beliau ini kerana keadilan yang dilaksanakan oleh Islam itu akan dapat menguasai orang bukan Islam.
“Saya yakin jika syariat Islam dilaksanakan orang bukan Islam banyak masuk Islam. Keadilan dalam Islam dapat menguasai orang bukan Islam,” katanya dalam pertemuan dengan pimpinan As-Sabiqun PAS Pusat di Rusila, hari ini. (Foto atas)
Dalam pertemuan selama satu jam itu, beliau turut mengingatkan pimpinan As-Sabiqun bahawa strategi mendapatkan sokongan rakyat akan membantu kemenangan Islam.
Selain itu katanya, PAS merupakan parti Islam yang bukan sahaja mendapat tentangan dalam negara tetapi dari luar negara supaya parti Islam tidak dapat memerintah.
Beliau berkata, sebab itu kumpulan Islam yang memerintah negara semuanya jatuh antarnya di Mesir.
Sehubungan itu, beliau berharap supaya PAS mengambil langkah berhati-hati dengan membina kekuatan dari bawah iaitu menguasai negeri dan kerajaan Pusat untuk mengisi agenda Islam.
“Kalau kita dapat kuasai Pusat, kita akan dapat mengubah kuasa di negeri-negeri,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang, Pengerusi As-Sabiqun Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed dan Setiausaha Mohamad Noor Mohamad. – HARAKAHDAILY 3/3/2023











