Tubuh bank makanan di peringkat Pusat

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

Surah Az-Zukhruf ayat ke-32 (maksudnya): “Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup dalam kehidupan dunia ini, sesetengahnya kami jadikan kaya-raya dan sesetengahnya miskin menderita dan juga kami telah menjadikan darjat sesetengah mereka tertinggi daripada darjat sesetengah yang lain. Semuanya itu supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan, menjalankan kehidupan daripada bantuan setengah yang lain”. Saya mulakan dengan ayat ini dalam membicarakan soal untuk menoktahi kemiskinan.

- Advertisement -

Tuan Yang di-Pertua, ayat ini sudah dijelaskan bagaimana Allah SWT, Dia membahagikan kedudukan kita ini ada yang kaya, ada yang pertengahan dan ada yang miskin. Adilnya Allah Taala kepada hamba-Nya atas dunia ini. Kalau semua atas dunia ini kaya semua, payah juga kita. Walaupun wang banyak tetapi hendak beli beras tidak ada. Tidak ada siapa pun orang kaya yang tanam padi.

Kalau miskin semua payah juga, hendak jual barang tidak ada siapa pun yang hendak membelinya. Cuma Islam telah meletakkan asasnya bagaimana kehidupan sosial yang perlu ada dalam masyarakat ini, yang kaya mesti mengambil berat berkenaan dengan orang-orang yang kurang berada.

Oleh itu, Nabi SAW telah bersabda Mmaksudnya): “Tidak beriman seorang itu kalau dia tidur dalam keadaan yang kenyang sedangkan jirannya berada dalam keadaan yang lapar yang dia tahu jirannya itu lapar”.

Hadis ini juga menjelaskan bagaimana tanggungjawab si kaya kepada orang-orang yang miskin. Jadi sebab itu Islam ia berada di pertengahan. Dia tidak menjadi orang yang terlalu kaya sampai melupakan yang miskin dan tidak juga menjadikan orang yang tinggal terus dunia sehinggakan merempat hidup untuk meminta belas ihsan daripada orang. Maka atas asas inilah, walaupun kita bersetuju untuk hendak mengurangkan kemiskinan, hendak menoktahi kemiskinan itu mungkin pandangan yang agak ekstrem. Mungkin hampir mustahil boleh berlakunya untuk membasmi kemiskinan secara total.

Tuan Yang di-Pertua, oleh demikian saya ingin kongsikan beberapa perkara yang boleh untuk mengurangkan tekanan krisis. Yang ingin saya mula dengan berkongsi formula yang telah dijelaskan dalam al-Quran dalam Surah Yusuf Ayat 43 hingga 49 (maksudnya): “Pada suatu hari Raja Mesir berkata, sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepada-ku tentang mimpi-ku kalau kamu orang yang pandai mentafsirkan mimpi ini”. Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, boleh melihat ayat yang seterusnya oleh sebab masanya tidak berapa banyak.

Tuan Yang di-Pertua, yang pertamanya dari sini kita boleh melihat kerajaan perlu memperkenalkan ataupun menubuhkan bank makanan di peringkat Pusat dan juga negeri untuk memastikan stok makanan sentiasa mencukupi sebagai persediaan memperkenalkan bank makanan berhadapan dengan krisis makanan yang lebih mencabar. Kita tahu tahun 2023 ini lebih ramai penduduk dunia akan berhadapan dengan krisis makanan termasuk peningkatan kadar kebuluran dan kekurangan bekalan makanan.

Stok makanan ini, maka ia bertujuan untuk menyimpan makanan yang boleh bertahan. Maksudnya ialah supaya dipastikan stockpile yang sekarang ini hanya ada untuk beras sahaja. Kita harapkan makanan-makanan yang lain juga perlu disediakan untuk menghadapi pelbagai kebarangkalian berlaku malapetaka di dunia ataupun di negara kita.

Cadangan yang kedua, kita tidak boleh bergantung selamanya kepada barangan import terutamanya barangan makanan. Selagi kita bergantung pada barangan import, selagi itulah masalah kenaikan harga barang tidak akan selesai. Maka saya ingin mencadangkan agar dilaksanakan penyewaan tanah milik kerajaan kepada mereka yang berminat khususnya anak muda bagi tujuan pertanian.

Antara langkah segera yang perlu dilaksanakan adalah dengan melaksanakan penanaman sayuran skala besar yang melibatkan pelbagai jenis sayur yang boleh dihasilkan pengeluaran segera dalam tempoh kurang daripada enam bulan. Oleh yang demikian, antara perkara yang perlu dilaksanakan adalah dengan menyewakan tanah milik kerajaan yang bersesuaian secara percuma selama dua tahun dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan untuk mengusahakan tanaman berasaskan sayuran yang mampu untuk keperluan makanan rakyat di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, selain itu juga disyorkan agar geran subsidi pertanian diperluaskan terutama kepada tanaman berasaskan kepada sayuran.

Cadangan yang ketiga. Sebagaimana yang saya sebut tadi, krisis ekonomi ini boleh menyebabkan berlaku krisis perumahan yang mana harga rumah berpotensi untuk naik secara mendadak. Maka saya ingin mengesyorkan agar diperluaskan konsep pemilikan melalui kaedah sewa beli. Terdapat keperluan untuk memperbanyakkan rumah mampu milik dan dilaksanakan dalam bentuk sewa beli. Kaedah ini dapat memudahkan pemilikan rumah. Pada ketika ini, anak muda sukar untuk memperoleh pinjaman untuk membeli rumah.

Cadangan keempat. Memperkenalkan semula konsep kedai runcit setempat melalui kerjasama dengan koperasi. Kerjasama dengan koperasi di dalam negara ini secara kolektif menawarkan lebih banyak barangan keperluan harian dan memperkenalkan kedai serbaneka atau kedai runcit yang lebih meluas di pelbagai lokaliti dengan harga mampu milik. Sekiranya rangkaian kedai runcit Acheh berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, tentu sekali kerajaan mampu untuk melaksanakan terutamanya kerjasama dengan koperasi dan sebagainya.

Saya hendak menyentuh juga berkenaan dengan wakaf pertanian kerana dalam bajet yang lalu kita telah pun memberikan peruntukan untuk wakaf pertanian yang dibuat oleh JAWHAR.

Alhamdulillah kita telah melaksanakan di Presint 20 sebagai pilot project yang dikendalikan oleh beberapa asnaf. Jadi persoalan saya, kenapakah pada tahun ini tidak diletakkan apa-apa untuk meneruskan usaha yang murni ini?

Keduanya, saya nak bertanya juga dengan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Agama berkenaan dengan pembangunan asnaf kerana tahun lepas, saya telah melancarkan sebanyak 2,000 orang asnaf yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan. Saya pilih lebih kurang kerana 32,000 orang asnaf yang menerima bantuan secara bulanan. Pada saya, saya menyebut dia kata sepatutnya kita jangan bangga setiap tahun ada ramai penerima bantuan. Kalau ramai penerima bantuan, maknanya kita gagal dalam menguruskan asnaf ini.

Maka bermula tahun lepas, saya telah melancarkan 2,000 orang asnaf untuk diambil dan dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam melibatkan RM40 juta wang zakat dan diberikan seorang asnaf itu sebanyak RM20,000. Saya nak tahu sejauh mana perkembangan projek ini berjalan. Harapan saya ialah lima hingga enam tahun lagi, mereka hari ini penerima zakat tetapi satu hari nanti mereka juga akan mengeluarkan zakat.

Berkenaan dengan peruntukan RM900 juta untuk selenggara sekolah-sekolah dan tidak disebut secara spesifik. Persoalan saya, berapa juta kah untuk sekolah agama, pondok dan tahfiz? Kalau tahun lepas, disebut dengan jelas sebanyak RM140 juta diberikan untuk sekolah ini.

Aduan Jalan Alor Pongsu. Jalannya sempit, tiada bahu jalan. Jalan berlubang dan hanya bertampal. Jalan beralun sepanjang simpang Tol Alor Pongsu ke Pekan Bagan Serai sedangkan ia merupakan laluan utama Bagan Serai ke lebuh raya. Anggarannya 10 kilometer dan juga jalannya mendap. Begitu juga berkenaan dengan aduan jalan dari Kampung Dew hingga ke Simpang Lima, Parit Buntar.

Ketiganya ialah Hospital Bagan Serai walaupun hari ini disebut nama Hospital Parit Buntar, duduk dalam Parlimen Bagan Serai. Tak kisahlah, nama tak penting. Apa yang pentingnya hospital ada. Kita hendak harapkan supaya bilakah ia dapat disiapkan? Keempatnya ialah berkenaan dengan khidmat ambulans. Para pesakit hari ini bila sakit, kita call ambulans, dia datang ambil. Akan tetapi waktu nak balik nanti, kena balik sendiri dan kadang-kadang mencecah wang kalau dari Bagan Serai itu dimaklumkan kepada saya, sampai mencecah hampir dekat dengan RM400 dari Taiping kerana di situ tidak adanya hospital pakar dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.

- Advertisement -