Tema kerajaan madani bukan sekadar di bibir

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

Di kesempatan ini, pertamanya saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh pelajar calon SPM pada tahun ini terutamanya yang berada di Temerloh. Saya kira belum terlambat untuk saya ucapkan semoga mereka berjaya dengan cemerlang. Saya mendengar dan menilai belanjawan madani yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023. Disebutkan lima cabaran ekonomi yang akan dihadapi oleh Malaysia pada tahun 2023 yang telah digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama juga, pada 26 Februari, saya membaca dan menilai kaji selidik tinjauan rakyat Malaysia 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengenai pandangan rakyat terhadap ekonomi negara dan bagi Disember 2022 hingga Februari 2023 menunjukkan daripada keseluruhan lebih 35,000 orang responden, 39 peratus melihat situasi ekonomi negara bertambah buruk, 38 peratus mengatakan bertambah baik dan 23 peratus responden lagi mengatakan tiada perubahan.

Kaji selidik menunjukkan kaum Melayu di Semenanjung paling ramai mengatakan ekonomi Malaysia bertambah buruk iaitu 53 peratus. Perkara ini perlu diambil perhatian dengan serius oleh pihak kerajaan mengenai keyakinan rakyat kepada kerajaan yang semakin pudar. Pada ketika ini, saya ingin menjelaskan juga tentang topik yang disebut menoktahkan kemiskinan.

Walaupun beberapa perkara dipersoalkan tentang perkara menoktahkan kemiskinan tegar, saya hendak menyebutkan di dalam Islam kemiskinan tidak dapat dihapuskan kerana zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang diagih untuk asnaf termasuk fakir dan miskin. Walaupun disebut miskin tegar, kita mengkategorikan bahawa miskin tegar itu termasuklah bukan sahaja termasuk sebagai fakir yang tidak dapat menampung perbelanjaan dengan pendapatan yang ada. Begitu juga dengan miskin-“miskin” iaitu golongan yang cukup-cukup sahaja pendapatannya, dan tidak ada langsung untuk simpanan dan bekalan kecemasan.

Oleh itu kita tetap menyatakan bahawa menoktahkan kemiskinan bukanlah kita kata satu usaha yang dapat dilaksanakan terutamanya dalam waktu yang sangat dekat.

Saya juga ingin melihat berkaitan bagaimana masih ramai lagi golongan miskin yang belum lagi didaftarkan walaupun kita melihat bahawa situasi menjadikan miskin tegar. Kita sebut miskin tegar yang dikaitkan dengan isi rumah yang sangat miskin. Saya hendak masukkan dia sebagai fakir.

Sebelum ini, pada tahun 2021, sistem eKasih yang sudah pun dilakukan oleh Menteri sebelum ini Tok Pa. Jadi, kita mahu supaya eKasih diteruskan dan dalam masa yang sama juga dikemas kini untuk kita mengenal pasti siapakah golongan ini untuk menyalurkan sasaran yang sewajarnya. Dalam masa yang sama juga, masih ramai lagi di luar sana yang belum didaftarkan dalam eKasih.

Oleh itu, saya juga ingin merujuk apabila disebutkan tentang kemiskinan. Saya juga suka melihat bahawa bila diberikan satu situasi iaitu belanjawan hari ini memberi hanya kenaikan 20 sen daripada RM2.50 sekilo getah pada RM2.70. Untuk pekebun getah, cuba kita fikir. Saya terasa sangat sedih kerana kita melihat golongan ini berhadapan dengan pelbagai keadaan, situasi pohon getah yang sedang gugur daunnya, tidak dapat menoreh. Kalau menoreh, dia punya susu sangat sedikit.

Dalam situasi cuaca tidak menentu dan mereka menunggu-nunggu apakah yang mereka dapat daripada Belanjawan 2023 ini yang melibatkan 200,000 orang penoreh getah ataupun pekebun getah. Oleh sebab itulah bila kita dapat membayangkan kalau 20 sen, sekilo yang naik. Untuk dapat RM1, lima kilo dan mereka terpaksa mengagihkan dengan tuan tanah. Berapakah sen agaknya mereka dapat? Yang dapat kita sebut boleh menaik taraf golongan miskin ini.

Kita juga kena melihat bahawa golongan nelayan tidak disentuh bagaimana kita hendak memperjuangkan golongan nelayan. Di sana ada peranan orang tengah. Walaupun harga ikan di pasaran begitu tinggi tetapi pendapatan mereka tetap rendah. Ujian-ujian untuk mereka dalam membekalkan protein untuk kita. Saya mengharapkan kerajaan perlu mengambil kira usaha-usaha mereka dan memberikan usaha-usaha untuk menaik taraf golongan ini.

Selain daripada itu, saya juga ingin menyebutkan bahawa bila kita menyebut tentang kemiskinan, ia bukan semata-mata bergantung kepada pendapatan yang diberikan. Disebut tadi ada RM450 dan sebagainya. Kita kena melihat bahawa kesusahan kemiskinan di bawah sana sangat bergantung pada harga barang keperluan hari ini. Kita mengetahui bahawa kos hidup sangat tinggi. Bagaimana mungkin dengan kenaikan 20 sen ini dapat menepati golongan 130,000 miskin tegar ini. Persoalannya sejauh mana agaknya perkara ini dilihat dan rakyat di sana merintih dalam situasi hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh bahawa golongan ini juga berhadapan dengan masalah perumahan. Sebahagian mereka menyewa dan sebahagian mereka sangat menunggu-nunggu. Mereka ada memohon rumah tetapi belum lagi dapat kelulusan. Mereka memohon untuk mendapatkan tapak rumah. Bertahun-tahun mereka menunggu, masih tidak dapat diluluskan. Saya mengharapkan supaya perkara-perkara birokrasi ini perlu dipertimbangkan dan diteruskan dengan lebih baik lagi daripada segi sistem pembahagian tanah khususnya tapak rumah yang sewajarnya mereka layak untuk mendapatnya.

Begitu juga saya hendak sebutkan bagaimana bila saya turun ke bawah saya juga bertemu dengan Orang Asal ini. Mereka menyuarakan bahawa sebuah rumah mereka tinggal dua hingga tiga keluarga. Jadi, saya mengharapkan bila sebut tentang kemiskinan, ia hendaklah menyeluruh. Bukan melihat hanya satu golongan semata-mata.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga dalam situasi hari ini, saya juga ingin menyentuh berkaitan tentang alam sekitar di mana bila kita melihat tentang Belanjawan 2023 peruntukan lebih RM6.53 bilion yang meningkat sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun lepas. Apa yang perlu saya hendak menyebutkan bahawa bila sebut alam sekitar, ia melibatkan juga pencemaran air. Saya ingin mendapat perhatian supaya Sungai Pahang sebagai sumber utama rezeki penternak ikan air tawar juga diberikan ruang untuk diberikan – saya hendak sebut sumbangan ataupun tindakan untuk pembersihan airnya.

Kemudian, saya juga ingin menyebut tentang penebangan hutan yang tidak terkawal. Masih berlaku sehingga balak dicuri dari hutan. Pelik, macam mana boleh curi balak. Kalau curi kita kata barang-barang kecil tidak nampak tetapi balak yang besar itu. Pada 30 Jun 2022, kes curi balak di Hutan Simpan Lakum berlaku. Siapakah agaknya yang berperanan sampai kita lihat di luar seolah-olah hutan yang masih banyak tetapi di dalam sudah habis? Apa pun alasan penebangan hutan juga, sama ada penceroboh hutan perlu diambil tindakan tegas walaupun atas alasan untuk ladang sawit berpuluh-puluh ribu ekar ataupun ladang durian Musang King dan berbagai-bagai lagi tanaman. Saya mengharapkan tindakan tegas kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tuan Yang di-Pertua saya juga ingin melontarkan beberapa persoalan. Pertama, apakah tindakan jangka panjang kerajaan untuk mengatasi masalah pencemaran sungai di daerah Temerloh serta menjaga ekosistem sungai dan habitat ikan sungai seperti ikan sangkar? Dalam masa yang sama juga, di tepi sungai ini disediakan rumah rakit yang menjadi tumpuan bagi mereka yang gemar memancing. Jadi, saya ingin supaya perkara ini diambil perhatian kerana ia boleh menggugat pendapatan penduduk sekitar.

Kedua, saya juga suka bertanya berkaitan tentang projek tebatan banjir di Temerloh yang disebut kawasan Kampung Batu Kapur. Pada makluman kepada saya, projek ini sudah lulus sekian lama tetapi saya hendak melihat apakah statusnya. Itu yang kedua.

Ketiga, saya juga ingin bertanya tentang kuarters guru yang tidak didiami. Contohnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan. Saya mengharapkan supaya kuarters guru yang tidak dimanfaatkan ini perlulah dikaji semula dan mestilah dimanfaatkan untuk golongan yang memerlukan.

Seterusnya, saya juga ingin menyebutkan supaya Klinik Kesihatan Mentakab yang sekarang ini digunakan untuk pergigian hendaklah dinaiktarafkan untuk menampung keperluan penduduk kerana kita lihat klinik khususnya hospital juga kalau boleh dinaiktarafkan kerana Hospital Temerloh kita lihat begitu sesak.

Seterusnya, apa yang perlu saya utarakan adalah mengingatkan semula supaya peruntukan untuk semua Ahli Parlimen hendaklah diagihkan walaupun sebagai pembangkang tetapi kami dipilih oleh rakyat. Kami bekerja untuk rakyat dan kami berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat.

Oleh itu, saya mengharapkan dalam tema Kerajaan Madani bukan sekadar di bibir tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan yang adil. Jadi, untuk itu, untuk akhirnya saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua dan semua khususnya untuk Yang Berhormat Menteri Kewangan supaya melihat kembali tuntutan-tuntutan daripada pihak kami sendiri. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.

- Advertisement -