
KUALA LUMPUR: Perjanjian pada 1791 mahu pun 1869 menyatakan bahawa kedaulatan Pulau Pinang sebenar adalah di bawah Kedah.
Dato’ Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) berkata, jika Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng) mahu memperjuangkan kedaulatan Pulau Pinang, maka Kedah lah sebenarnya kedaulatan bagi Pulau Pinang.
“Semalam, Bagan membangkitkan tentang kedaulatan Pulau Pinang yang kononnya telah diceroboh negeri Kedah.
“Saya pun tidak pasti adakah Bagan pernah membaca pelbagai penulisan daripada perspektif sejarah mahu pun undang-undang mengenai kedudukan Pulau Pinang dengan Kedah,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, tuntutan Kedah adalah jelas, iaitu menuntut nilai pajakan yang setimpal kepada Kedah.
“Ini menjadi tanggungjawab Persekutuan, bukannya Pulau Pinang.
“Perkara 167 subseksyen 7 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa; Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada pihak yang satu lagi berkenaan dengan Negeri Kedah,” katanya.
Ketika ini, katanya kerajaan Kedah menerima RM10,000 pajakan setahun yang mana meningkat ketika zaman Bagan menjadi Menteri Kewangan dengan tambahan RM10 juta.
“Persoalan yang dibangkit, adakah menjadi suatu kesalahan jika ada pihak yang mahu melakukan penilaian semula nilai pajakan itu setelah hampir 200 tahun perjanjian dibuat? Adakah nilai pajakan yang diterima itu setara?” katanya.
Pada masa sama, kata Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, rakyat Kedah juga mahukan jawapannya.
“Oleh itu, Kedah memohon dua perkara daripada Persekutuan, iaitu menuntut keseluruhan RM200 juta bagi nilai pajakan serta termasuklah penjagaan sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda dan kos melepas yang diambil dan diguna pakai oleh Pulau Pinang.
“Kedua, menetapkan suatu bentuk hitam putih terhadap pembayaran tersebut dan tidak dilakukan atas pentadbiran semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023




















