
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat panas seketika apabila beberapa penyokong kerajaan yang mencelah ketika ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin seakan mahu berbahas.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) ketika bangun dengan membangkitkan Peraturan Dewan, menganggap penyokong kerajaan cuba berbahas semasa mencelah ucapan Ketua Pembangkang.
Katanya, mereka bangun sepatutnya meminta penjelasan dan bukannya mahu bersyarah dengan berjela-jela.
“Mereka sepatutnya bangun meminta penjelasan daripada Ketua Pembangkang dan bukannya mahu berbahas,” katanya ketika membangkitkan Peraturan Dewan.
Sebelum itu Dr Zulkifli Ahmad (PH-Kuala Selangor), Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Lee Chuan How (Ipoh-Timur) yang menggunakan ruang diberi bersyarah panjang lebar ketika meminta penjelasan.
Che Mohamad Zulkifly berkata, bersyarah dan meminta penjelasan sesuatu yang berbeza, dan ia perlu difahami.
Biarpun Ahli Parlimen Besut memberi peringatan, Ahli Parlimen Kuala Selangor masih bangun dan mahu menyanggah sehingga memanaskan setika sidang Dewan Rakyat.
Hamzah ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengundang tidak senang penyokong kerajaan apabila mereka kerap bangun bagi meminta penjelasan.
Akhirnya Ketua Pembangkang memberi ruang kepada Ipoh Timur untuk meminta penjelasan, namun dia menggunakan kesempatan tersebut untuk berbahas dan bukannya meminta penjelasan.
Sidang Dewan Rakyat juga menarik perhatian apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) menyifatkan kerajaan PH-BN sekarang lebih cenderung ke arah corak sosialisme.
Bagaimanapun, katanya biarpun corak pentadbiran mirip kepada sosialisme namun tidak berlaku sama rata, sama rasa dengan pembangkang apabila dinafikan peruntukan.
Beliau juga kagum ketika era kerajaan PN, Ketua Pembangkang mendapat kemudahan polis pengiring bermotosikal, namun sekarang tidak berlaku lagi. – HARAKAHDAILY 27/2/23




















