Perkasakan peranan dan fungsi SPRM

- Advertisement -

SAYA mengamati dan memerhatikan dengan penuh minat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berfungsi sebagai agensi penguat kuasa antirasuah bebas di dalam negara kita. Sejak penubuhannya pada 50 tahun lepas, banyak pihak berpandangan bahawa SPRM dan pegawai tertingginya dikawal serta dipengaruhi secara langsung oleh kerajaan. Persepsi negatif itu berlarutan sehinggalah kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil langkah berani membuang pandangan dan tanggapan sedemikian dengan menjadikannya sebagai suruhanjaya bermula 14 tahun lalu.

Namun, saya berpendapat bahawa persepsi SPRM masih dibayangi pengaruh kerajaan berlarutan dan masih tebal di kalangan rakyat. Oleh itu, saya berpandangan usaha untuk menjadikan SPRM lebih bebas dan benar-benar bebas terus diperjuangkan. Kita boleh melihat kepada pengalaman Hong Kong yang berjaya menubuhkan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang disegani dunia. Mengikut sejarah, Hong Kong pada tahun 60-an dan 70-an merupakan wilayah yang paling korup di Asia. Ia dikawal oleh kumpulan Taipan dan gengster. Namun dalam tempoh 10 tahun kemudiannya, amalan rasuah dapat dibersihkan dengan pembentukan suruhanjaya pencegahan rasuah yang berkesan.

Saya ingin mengesyorkan supaya SPRM diletakkan di bawah pengawalan oleh Parlimen berbanding di bawah Jabatan Perdana Menteri ketika ini. Cadangan ini sangat relevan bagi memastikan kebebasan suruhanjaya ini melaksanakan tugas adalah di luar dari pengaruh cabang Eksekutif. Selain itu, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu melalui proses tapisan di Parlimen bagi menzahirkan ketelusan dalam proses menentukan kedudukan pegawai tertinggi suruhanjaya ini.  

Saya mendapat maklumat bahawa peruntukan yang diterima oleh SPRM saban tahun masih rendah berbanding dengan beban tugasan yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Oleh itu, saya mencadangkan agar peruntukan yang diterima oleh mereka seharusnya dinaikkan berpadanan dengan keperluan tugasan mereka yang semakin mencabar pada waktu ini.

Kekhuatiran saya berkenaan peranan SPRM ini bertitik tolak dari kes-kes berprofil tinggi yang dikendalikan oleh mereka sejak-sejak akhir ini. Saya mengambil maklum tahap profesionalisme yang telah dipamerkan oleh para pegawai dan kakitangan SPRM selama ini yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah. Namun, saya percaya pembaharuan dalam suruhanjaya ini perlu dilakukan demi meningkatkan tahap keyakinan rakyat sepenuhnya kepada suruhanjaya ini.USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB”Malaysia Sejahtera”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -