Langkah segera halang penghijrahan doktor

Dato' Sri Dr Ismail Abd Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan apakah langkah segera yang diambil untuk menghalang penghijrahan kelulusan perubatan (doktor) mendapatkan pekerjaan keluar negara seperti berlaku baru-baru ini.

- Advertisement -

Demikian pertanyaan Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib [PN-Maran] yang diajukan kepada Menteri Kesihatan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta kementerian menyatakan berapa ramai lagi doktor kontrak yang belum diberikan taraf tetap.

Berikut ialah soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan, hari ini.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bantuan dan sokongan yang dapat diberikan kepada akademi sukan dan permainan yang dikendalikan oleh bekas pemain negara.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah projek perumahan baru serta bilangan unit rumah mengikut pengkelasan kategori rumah di seluruh negara bagi tempoh lima tahun terakhir.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah langkah segera yang diambil untuk menghalang penghijrahan kelulusan perubatan (Doktor) mendapatkan pekerjaan keluar negara seperti berlaku baru-baru ini dan berapa ramai lagi doktor-doktor kontrak yang belum diberikan taraf tetap.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah Tindakan-tindakan yang telah dijalankan oleh KBS bagi mendekati golongan belia di kawasan luar bandar.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan statistik terkini pelaksanaan program di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP 2025) dan tahap keberkesanan dalam meningkatkan kesedaran berkenaan KKP dalam kalangan pemain industri di Malaysia.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Kesihatan menyatakan langkah yang diambil oleh Kementerian untuk memastikan golongan doktor muda dan pegawai perubatan memilih untuk terus bekerja di dalam negara berbanding luar negara.

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan kerangka polisi dan dasar yang akan diberi penekanan dalam portfolio alam sekitar, perubahan iklim dan sumber asli selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah kerja sama serantau dengan negara-negara jiran dalam membanteras sindiket pemerdagangan manusia serta adakah terdapat usaha untuk mengeluarkan Malaysia dari status Tier 3 dalam US State Department Annual Human Trafficking Report.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan Kementerian menangani isu kilang dalam dan sekeliling kampung tradisi yang menyebabkan pencemaran alam sekitar, keselamatan penduduk, masalah berkaitan warga asing dan trafik khususnya di Kapar.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan perancangan rumah mampu milik (PPR) untuk rakyat B40 di seluruh negara.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status terkini projek pembangunan perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Parlimen Mersing yang telah diluluskan oleh Kerajaan terdahulu.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan tangkapan penagih dadah di kalangan anak muda di seluruh negara pada tahun 2021 dan 2022, dan perancangan Kementerian untuk membendung masalah sosial ini daripada menular.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk meletakkan kebolehan membaca Al-Quran sebagai syarat penerimaan kemasukan untuk berkhidmat sebagai anggota PDRM bagi penganut agama Islam.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status komitmen Kerajaan dalam memberikan keadilan kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tetapi anak yang dilahirkan tidak mendapat taraf warganegara Malaysia.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh pihak Kementerian untuk memperluas sektor tenaga solar berskala kecil selain daripada program Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM).

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha Kementerian dalam menangani isu-isu pembaikan jalan yang sering menjadi pertikaian antara pihak berkuasa tempatan atau jalan kampung.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status pelaksanaan projek Wakaf Air mengikut negeri dan adakah Kementerian akan meneruskan program ini. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -