
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim membidas Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, kerana membuat kenyataan mengelirukan ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Arau yang mencelah jawapan Rafizi menyatakan jawapan itu mengelirukan kerana tidak memperincikan lokasi tanah yang akan dibuka.
“Kenyataan Yang Berhormat itu perkataan ‘kita akan membuka tanah-tanah’, jadi nak buka tanah kat mana? Sebab jawapan ini mengelirukan, tanah di mana Yang Berhormat?” katanya, hari ini.
Namun Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, meminta Shahidan supaya duduk kerana soalan tambahan dihadkan kepada hanya dua soalan.
Terdahulu Rafizi berkata, kerajaan perlu mengkaji dan memperhalusi komponen yang menyumbang kepada kadar inflasi yang berlaku di seluruh dunia.
“Kenaikan harga barang sebenarnya didorong oleh harga akhir di kedai dan di restoran yang masih lagi tinggi. Oleh sebab itu, kita perlu menanganinya dari keseluruhan rantaian pembekalan dan permintaan.
“Dari segi pembekalan, sudah tentu kita akan ‘membuka tanah-tanah’ supaya memastikan bekalan terutamanya bahan-bahan mentah seperti sayuran digunakan di dalam restoran dan kedai ini.
“Harganya dapat diturunkan dengan mengimbangi bekalan yang lebih, di samping membuka peluang kerajaan kepada golongan belia dan golongan miskin,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/23




















