
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Terengganu, Dato’ Rohaimi Md Isa yang mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, pihak polis juga mengesahkan perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata replika dan warisan Islam.
Menurutnya, kenyataan itu telah menjawab tohmahan jahat yang dilemparkan oleh seorang pemimpin muda sebuah parti komponen PH di Kelantan yang mengaitkan cosplay di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Setiu, sebagai unsur yang boleh disiasat di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan Sejata Berbahya 1958 (Akta 357) dan juga ada yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’ (counter terrorism).
Katanya, PAS menegaskan bahawa HIMPIT di Terengganu adalah satu manifestasi semangat sayang kepada perjuangan para sahabat dan cinta kepada Islam dengan pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam di zaman para sahabat Rasullullah SAW.
“Apakah cinta kepada Islam agama sejahtera itu sudah salah di zaman pemerintahan Malaysia Madani?
“Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada PAS dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut. – HARAKAHDAILY 20/2/2023











