
KUALA LUMPUR: Sebahagian mahasiswa masih takut dan fobia untuk terlibat dalam pentas politik kerana bimbang dikenakan tindakan ugutan politk.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) melahirkan rasa sedih melihat situasi itu, apa tah lagi Malaysia sudah pun mengangkat agenda Undi 18.
“Bagaimana kita hendak lahirkan pemimpin negara yang berani dan lantang jika ruang latihan mereka di kampus masih terhad dengan benteng-benteng dan sekatan lama yang masih wujud?
“Saya menyeru agar kebebasan mahasiswa dapat dijamin kerajaan, terutama dalam beraktiviti dan penyertaan politik di kampus.
“Mahasiswa perlu diberi ruang dan peluang untuk menzahirkan idea mereka kepada mana-mana pihak,” katanya semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Nurul Amin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah berkata, budaya wacana harus disuburkan seawal di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Justeru itu, katanya mahasiswa wajar dibenarkan memanggil ahli-ahli politik termasuk dari pembangkang untuk mengadakan dialog, wacana dan forum di IPT seluruh negara.
“Saya mengulangi ucapan Yang Amat Berhormat Tambun dalam suatu majlis baru-baru ini (menyebut) mahasiswa bebas untuk memberikan kritikan serta menyuarakan pandangan mereka untuk menegur kerajaan.
“Harap-harap semangat kebebasan yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Tambun ini disambut baik oleh IPT dalam negara kita. – HARAKAHDAILY 20/2/2023











