
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memutuskan menjenamakan semula Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) berkuat kuasa Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, ia melibatkan seramai 2050 pelantikan baharu ahli MKK di seluruh negeri Kedah.
“Kerajaan negeri Kedah telah membuat keputusan akan melantik Majlis Ketua Kampung seramai 1025 orang pengerusi dan 1025 orang setiausaha di seluruh Kedah memenuhi kuota.
“Insha-Allah akan dilaksanakan dalam bulan Februari ini juga untuk pelantikan MKK,” katanya yang ditemui Harakahdaily dalam Himpunan Wanita Sejahtera sempena Karnival Kedah Sejahtera di Dataran Masjid Zahir di sini, hari ini.
Himpunan Wanita Sejahtera mengundang pendakwah wanita dan keluarga, Ustazah Asmak Husin dan Ustazah Noraini Mat Din @ Ustazah Nonny dari Arafah Academic.
Menurutnya, meskipun dijenamakan semula fungsi dan peranan majlis tersebut masih sama.
“Mereka boleh bekerja menggunakan modul lama yang sedia ada cuma mereka perlu pertingkatkanlah sebab dah masuk tahun kedua ketiga ini mungkin mereka dah pandai dengan pengurusan di peringkat bawah bersama masyarakat setempat.
“Insha-Allah akan diadakan pemantauan daripada pihak penghulu dan pejabat daerah untuk program-program yang dianjurkan oleh Majlis Ketua Kampung (MKK),” katanya.
Mengulas tentang Karnival Kedah Sejahtera, ujarnya program seharian di Dataran Masjid Zahir bertujuan mempromosikan program yang dilaksanakan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Negeri Kedah ini pelbagai program dilaksanakan kadang-kadang tidak dilaksanakan secara meluas. Jadi program ini ialah untuk mengajak dan mempromosikan program-program anjuran kerajaan negeri Kedah.
“Juga untuk mengumpul para asatizah wanita-wanita dan remaja-remaja. Pada malam ini malam kemuncak iaitu kita undang seorang pendakwah bebas berpengaruh (Ustaz Azhar Idrus) dan semoga masyarakat boleh ambil manfaat daripada program ini,” ujar Siti Ashah. – HARAKAHDAILY 18/2/2023











